Liek Hou kekal rentak kemenangan di Paralimpik 2024

Iklan
Liek Hou

SEPERTI Muhammad Fareez Anuar, Cheah Liek Hou juga berjaya muncul juara Kumpulan A menewaskan Suryo Nugroho pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di Paris.

Dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Arena Porte de La Chapelle, Liek Hou, yang memenangi pingat emas pada edisi lepas, meneruskan prestasi cemerlangnya apabila dengan mudah mengetepikan pemain Indonesia 21-10, 21-13 dalam masa hanya 31 minit.

Iklan
Iklan

Pemain nombor satu dunia itu membuka kempen Paris 2024 dengan menumpaskan Mroz Bartlomiej dari Poland, 21-10, 21-6, pada Khamis.

Ia disusuli dengan kemenangan ke atas pemain tuan rumah Meril Loquette 21-10, 21-16 semalam.

Iklan

Sementara itu, Liek Hou menyifatkan Suryo tidak bermain bersungguh-sungguh disebabkan pemain Indonesia tersebut telah pun meraih tempat di separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan A.

"Saya rasa tiada guna dia nak lawan saya betul-betul, tadi saya nampak dia begitu relaks," katanya

Iklan

Muhammad Fareez mengekalkan rekod tanpa kalahnya di Paris 2024 selepas menewaskan pemain Jepun, Taiyo Imai pada perlawanan akhir Kumpulan B, 17-21, 21-17, 21-17.

Pada Khamis, pemain nombor empat dunia, Muhammad Fareez mengejutkan pilihan kedua Fang Jen-Yu dari Taiwan 21-14, 21-18, sebelum menundukkan Dheva Anrimusthi dari Indonesia yang juga bintang Sukan Para Asia Hangzhou 2022, 14-21, 21-19, 21-19, semalam.

Anrimusthi turut mara ke separuh akhir selepas menewaskan Jen-Yu 21-14, 21-18 untuk muncul naib juara Kumpulan B. - Bernama