GUA MUSANG - Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri terus menarik nafas lega apabila mesin juruwang automatik (ATM) ketiga disediakan untuk kemudahan mereka.
Berita gembira itu dikongsikan oleh wakil rakyat mereka Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menerusi satu hantaran di laman sosial Facebooknya pada Sabtu.
Azmawi atau Awie berkata, kemudahan itu diwujudkan di sebuah stesen minyak berdekatan kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Rantau Manis.
"Semoga mesin ATM ini dapat memberikan kemudahan kepada rakyat Nenggiri dan tidak lupa juga perantau yang melalui lebuh raya Gua Musang," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Maybank yang membantu merealisasikan kemudahan itu untuk penduduk setempat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dakwat masih di jari, penduduk di DUN Nenggiri menerima kemudahan ATM kedua di Bertam Baru di sini selepas berakhirnya Pilihan Raya Kecil (PRK).
Sebelum itu pada 14 Ogos, sebuah ATM telah dipasang di Jerek Baru iaitu tiga hari sebelum rakyat DUN Nenggiri mengundi.
Kemudahan tersebut amat dinantikan oleh lebih 30,000 penduduk di sini kerana mereka kini tidak perlu meredah perjalanan sejauh 50 kilometer (km) untuk mengeluarkan wang apabila kawasan tersebut sudah dilengkapi dengan ATM.