Empat kenderaan bertembung gara-gara pemandu terlelap

Iklan
Keadaan kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 46, Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja di Setiu pada petang Sabtu.

SETIU - Empat kenderaan bertembung gara-gara seorang pemandu terlelap dalam kejadian di Kilometer 46, Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja di sini pada petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, kemalangan tersebut membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dan Nissan Navara serta dua buah Proton Wira.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang berdekatan Kampung Merang, di sini tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa.

"Kemalangan berlaku apabila kenderaan jenis Ford Ranger dalam perjalanan dari Saujana menghala ke Merang, manakala tiga lagi kenderaan dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu, Kelantan.

Iklan

"Siasatan awal mendapati pemandu Ford Ranger tersebut dipercayai terlelap lalu hilang kawalan sehingga masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Nissan Navara.

"Tidak lama selepas itu datang sebuah Proton Wira dari arah belakang dan melanggar bahagian belakang Nissan Navara seterusnya datang sebuah lagi Proton Wira dari arah belakang dan melanggar bahagian belakang kereta jenis yang sama," katanya di sini pada Ahad.

Iklan
Keadaan dua pacuan empat roda jenis Nissan Navara dan Ford Ranger yang bertembung dalam kejadian di Kilometer 46, Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja di Setiu pada petang Sabtu.

Menurut Mohd Zain, kemalangan tersebut menyebabkan keempat-empat kenderaan mengalami kerosakan termasuk bahagian depan dan belakang.

"Keempat-empat pemandu yang mengalami kecederaan ringan telah menerima rawatan di bahagian pesakit luar.

"Selain itu, dua orang penumpang yang masing-masing menaiki dua buah pacuan empat roda mendapatkan rawatan di Hospital Setiu manakala sembilan lagi yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.