KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Orang kurang upaya (OKU) lembam ditemukan terapung di kawasan paya berhampiran Kampung Beta Hulu Nilam Puri, Ketereh di sini pada Ahad.
Mangsa yang dikenali sebagai Fakhrurazi Mamat, 65, itu dikatakan telah hilang selama 15 jam selepas keluar dari rumah pada jam 4.30 petang Sabtu.
Ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, sudah menjadi rutin harian anak sulung daripada tujuh beradik itu keluar berjalan-jalan sekitar kampung setiap hari.
"Pada jam 7 malam kami dapati dia tidak pulang, kebiasaannya jam 6.30 petang sudah ada di rumah.
"Kami dibantu orang kampung telah keluar mencari abang merata tempat namun gagal. Sehinggalah kami mengambil keputusan untuk membuat laporan polis sekitar jam 8 malam," katanya ketika di temui di rumah di Kampung Belukar, Beta Hulu, di sini.
Menurut dia, operasi pencarian kemudian diteruskan oleh mereka dengan bantuan polis.
Ujarnya, kira-kira jam 10 pagi ada orang kampung menjumpai arwah di dalam paya yang terletak berhampiran kebun buah-buahan dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri.
"Jarak lokasi tersebut dengan rumah hanya 500 meter sahaja.
"Arwah telah dibawa ke HRPZII (Hospital Raja Perempuan Zainab II) untuk bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Jud," katanya.
Sinar Online sebelum itu melaporkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh telah membawa keluar jenazah seorang warga emas yang ditemukan dalam paya pada jam 10.42 pagi.
Jenazah terbabit telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).