KUALA LUMPUR - Status Parti Progresif Penduduk (MyPPP) untuk diterima semula sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) akan ditentukan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN akan datang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, buat masa ini status MyPPP masih merupakan parti dan rakan yang menyokong BN.
"Dengan pengambilalihan parti oleh kepimpinan baharu yang kini dipegang oleh Pemangku Presiden, Datuk Dr Loga Bala Mohan, maka perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN akan datang untuk melihat semula.
"Bukan sahaja rayuan tetapi keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah terhadap keabsahaan MyPPP,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung MyPPP di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Ahad.
Ahmad Zahid berkata, BN dalam pada itu akan meneliti semula rayuan yang dibuat oleh kepimpinan baharu untuk kembali bersama BN.
"Keputusan Dewan Tertinggi BN tertakluk kepada suara yang tercatat di dalam perlembagaan mesti dibuat secara sebulat suara maka ianya boleh kita atasi dengan perbincangan di kalangan kepimpinan.
"Kita yakin semua presiden parti sangat simpati dengan apa yang diputuskan oleh mahkamah dan rayuan yang telah dibuat,” katanya.
Jabatan Pendaftar Pertubun (RoS) melucutkan pendaftaran MyPPP pada 14 Januari 2019 selepas pergolakan kepimpinan di antara mendiang Datuk Seri Maglin Dennis D'Cruz dan Tan Sri M Kayveas.
Krisis berlarutan selama lima tahun berakhir 11 April tahun lalu selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan rayuan MyPPP terhadap pengelucutan pendaftaran dan mengesahkan keabsahan Majlis Tertinggi MyPPP diadakan pada 19 Mac 2023 yang memilih D'Cruz sebagai Presiden.