Pembukaan cawangan PHMP perkukuh khidmat kesihatan asnaf

Iklan
Mohd Na'im menyampaikan sumbangan kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di PHMP cawangan Putrajaya.

PUTRAJAYA - Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) melalui Pusat Perniagaannya telah membuka sebuah lagi cawangan Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS (PHMP) di Putrajaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, pusat berkenaan merupakan hasil kerjasama strategik antara MAIWP dan UCMI (dahulunya dikenali sebagai PICOMS) bertujuan memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ia dilengkapi dengan teknologi hemodialisis terkini termasuk Mesin Hemodiafiltration (HDF) yang menunjukkan komitmen dalam memberikan rawatan terbaik dan terkini kepada pesakit.

"Ini merupakan usaha penting MAIWP dan UCMI dalam memperkasakan khidmat kesihatan kepada masyarakat terutamanya golongan kurang berkemampuan.

Iklan
Mohd Na'im (tiga dari kanan) menandatangani plak perasmian pembukaan PHMP cawangan Putrajaya baru-baru ini.

"Pelan Transformasi Al Falah dari Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia adalah inisiatif penting yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan umat Islam termasuk kesihatan.

"Pelan ini menekankan kepentingan kesedaran kesihatan melalui kempen meluas. Ini seiring dengan matlamat PHMP di mana penjagaan kesihatan yang berkualiti dan mudah diakses adalah menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS Cawangan Putrajaya dan Cawangan Labuan di sini baru-baru ini.

Iklan

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi MAIWP, Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Naib Canselor UCMI, Profesor Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman dan pengurusan kanan MAIWP serta UCMI.

Mohd Na'im berkata, pembukaan PHMP cawangan Putrajaya bukan sahaja meningkatkan akses kepada rawatan berkualiti untuk pesakit asnaf tanpa membebankan kewangan mereka tetapi menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat setempat.

"Selain itu, PHMP ini bakal berfungsi sebagai tempat latihan bagi program post-basic renal serta lapangan kajian untuk pelajar pasca-siswazah, dengan kajian yang menumpukan kepada inovasi rawatan perubatan yang diharapkan memberi manfaat besar kepada masyarakat secara keseluruhannya,” jelasnya.