PRK DUN Mahkota: Bekas MB Johor sedia bantu kempen BN

Iklan
Ir Hasni (kiri) menyampaikan hadiah Pertandingan Seni Suara Merbuk Benut di Kampung Permatang Palas, Benut, Pontian.

PONTIAN – Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad bersedia membantu kempen calon UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, pengalaman yang dimiliki dalam pentadbiran dan perancangan selain peranan sebagai Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Kerajaan Negeri Johor ketika ini akan digunakan.

Iklan
Iklan

"Oleh itu, kita perlu gembleng semua kekuatan yang ada bagi membantu kemenangan di PRK DUN Mahkota sekali gus mempertahankan 40 kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dua tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah Pertandingan Seni Suara Merbuk Benut di Kampung Permatang Palas, Benut, di sini pada Ahad.

Iklan

Ir Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut turut mengingatkan semua pihak agar tidak memandang ringan cabaran yang diberikan oleh pihak lawan ketika PRK kerana masing-masing inginkan kemenangan.

"Pihak lawan juga akan turun ‘all-out’ bagi membantu kemenangan calon mereka bertujuan menambah bilangan wakil pengimbang di DUN Johor kelak.

Iklan

"Oleh itu, saya berharap calon BN dari UMNO dapat diterima oleh kaum-kaum lain seperti Cina dan India di DUN Mahkota serta memenuhi kreteria sebagai calon boleh menang," katanya.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, yang meninggal dunia pada 2 Ogos ketika dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemas kini hingga 2 Ogos lalu, DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

Manakala pecahan antara kaum di DUN Mahkota berbeza di mana pengundi Melayu lebih kurang 54 peratus, Cina 35 peratus dan India lebih kurang lapan peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.