'Saya tak sebut Khadijah berasal dari alam Melayu' - Profesor Dr Solehah

Iklan
Profesor Dr Solehah menegaskan beliau tidak pernah menyebut Khadijah berasal dari Tanah Melayu seperti yang ditularkan.

SHAH ALAM - Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr Solehah Yaacob menegaskan beliau tidak pernah menyebut Khadijah berasal dari alam Melayu seperti yang ditularkan.

Beliau berkata, sebaliknya terdapat individu yang memotong sebahagian video ceramahnya sehingga menyebabkan ia disalah erti dan menjadi tular.

Iklan
Iklan

"Tajuk video 'Khadijah al-Khuwailid adalah dari alam Melayu' hanya dibuat oleh individu yang potong sebahagian daripada video ceramah saya.

"Saya cuma membuka persoalan minta para pendengar berfikir, sebelum ini pun dah banyak perkara yang saya lontarkan dipandang hina oleh sebahagian netizen seperti perkataan Calah, pedang nabi, Keturah tapi apabila saya mendatangkan data-data ilmiah mereka terdiam dan bersetuju," katanya memetik kenyataan di laman Facebooknya di sini pada Ahad.

Iklan

Menurut Solehah, beliau tidak mengatakan Saiditina Khadijah isteri baginda Rasulullah SAW dari alam Melayu, cuma beberapa catatan menyebut alam Melayu pernah membantu memberi emas kepada tanah hijaz.

"Peristiwa ini sudah lama berlaku semenjak zaman Nabi Ibrahim a.s lagi.

Iklan

"Bagi mereka yang kurang menelaah atau tidak pernah tahu beberapa catatan klasik mengaitkan peranan orang Melayu yang cukup besar di bumi Arab.

"Nasihat saya kita jangan cepat melatah terhadap maklumat yang pelik di telinga kita, kemungkinan kita pun kurang mengkaji dan menelaah. Apa pun terima kasih atas pandangan," katanya.

Sementara itu, Persatuan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengingatkan ahlinya agar bercakap dalam bidang kepakaran masing-masing terutamanya dalam perbahasan awam bagi menjaga integriti universiti itu.

Dalam satu kenyataan media yang disiarkan di Facebook, persatuan itu mengingatkan bahawa sebagai ahli akademik profesional, komitmen mereka dalam menyebarkan pengetahuan dan menggalakkan perbincangan termaklum adalah melangkaui pagar universiti.

"Baru-baru ini, kita melihat kejadian di mana individu-individu tertentu bercakap di luar bidang mereka dalam perbincangan awam, yang boleh menjejaskan integriti diskusi akademik dan kepercayaan awam terhadap institusi kita," kata kenyataan itu.

Persatuan itu juga mengingatkan ahlinya agar menghormati disiplin dan bidang masing-masing yang dibina dengan asas yang kukuh berdasarkan kajian.

"Penting untuk kita menghormati batas kepakaran kita dan kepakaran ahli akademik yang lain.

"Bercakap tentang isu di luar kepakaran kita boleh membawa kepada salah maklumat dan kekeliruan," kata kenyataan itu.

Persatuan terbabit menambah, walaupun dialog antara disiplin digalakkan, penting untuk memahami bahawa isu kompleks memerlukan dapatan daripada pelbagai bidang, justeru kolaborasi seumpamanya perlu berdasarkan hormat terhadap bidang pengetahuan masing-masing.

Tambah kenyataan itu, ahli akademik juga bertanggungjawab menyampaikan maklumat dengan tepat.

"Bercakap di luar bidang berisiko menjejaskan kredibiliti sendiri dan kredibiliti institusi.

"Menjaga standard akademik memerlukan komitmen terhadap kesimpulan berasaskan bukti.

"Sebelum menegaskan pendapat atau membuat dakwaan dalam bidang yang kita tidak biasa, kita mesti berusaha untuk menyiasat kajian dan mengesahkan fakta. Ini penting untuk mengekalkan integriti perbincangan kita," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, ahli akademik mesti mencontohi pemikiran kritis dengan mengakui had pengetahuan.

"Amalan ini bukan sahaja meningkatkan kredibiliti kami tetapi juga menggalakkan khalayak kita untuk merenung dengan teliti tentang topik yang rumit," kata kenyataan itu.