Percutian bertukar tragedi, sekelip mata hilang isteri dan ibu

Iklan
Mohd Fadzil (kanan) tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan detik berlakunya kemalangan ketika cuba mengelak seekor kera melintas jalan raya.

SUNGAI PETANI - Percutian ke Sungai Sedim, Kulim sempena Hari Merdeka yang sepatutnya menggembirakan seisi keluarga berakhir dengan tragedi buat Mohd Fadzil Othman, 27.

Ketika menceritakan semula insiden yang meragut nyawa ibunya, Omi Kalsom Man, 69, dan isteri, Siti Norhaslisa Kamarudin, 26, Mohd Fadzil tidak dapat menahan sebak apabila kehilangan serentak dua insan tersayang dalam sekelip mata.

Iklan
Iklan

"Hari itu (Sabtu) suasana cukup gembira, terutamanya ibu yang telah lama merindui untuk bercuti bersama saya, isteri dan dua cucunya.

Mohd Fadzil

"Segala-galanya nampak begitu sempurna sebelum perjalanan ke Kulim. Sebenarnya kami tidak merancang untuk bercuti, ia berlaku secara spontan.

Iklan

"Ibu saya sangat teruja pada hari itu (kejadian) dan kami semua sangat seronok mandi sungai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Haji Ngah, Bedong, dekat sini, pada Ahad.

Mohd Fadzil yang merupakan pekerja am di sebuah syarikat komponen kenderaan terselamat bersama anak lelakinya, Lufh Mikhael, 3, dalam kemalangan di Simpang Tiga Kuala Bakong, Jalan Malau-Kuala Ketil, pada petang Sabtu.

Iklan

Dalam kejadian itu, kereta Toyota Vios dipandu Mohd Fadzil terbabas ke kawasan semak ketika cuba mengelak seekor kera melintas jalan raya berkenaan, menyebabkan isteri dan ibunya maut di tempat kejadian.

Biarpun kejadian itu memberi tamparan hebat buat dirinya, selain menyebabkan jiwanya hancur namun dia pasrah dengan ketentuan takdir.

"Dalam sekelip mata, segala-galanya berubah. Saya sedang memandu ketika itu dan secara tiba-tiba seekor kera melintas, saya cuba mengelak daripada melanggar kera itu.

"Saya hilang kawalan dan kereta dipandu melencong ke laluan sebelah lalu terbabas.

"Apa yang saya ingat, selepas itu kereta masuk ke dalam longkang selepas berpusing beberapa kali,” katanya.

Mohd Fadzil segera mencari kesemua ahli keluarganya sejurus kemalangan itu dan sempat membantu isterinya mengucap dua kalimah syahadah.

"Isteri saya duduk di tempat duduk penumpang hadapan bersama anak perempuan, ibu saya berada di tempat duduk belakang. Ketiga-tiga mereka tercampak keluar dari kereta.

"Saya nampak ibu selepas kemalangan tetapi tidak nampak isteri dan anak perempuan saya. Tidak lama selepas itu, orang ramai jumpa mereka dan serahkan anak perempuan kepada saya, dia terselamat cuma cedera.

"Malangnya, isteri saya tidak berjaya diselamatkan tetapi saya sempat mengajar dia mengucap dua kalimah syahadah sebelum meninggal dunia,” katanya.

Anak bongsu daripada lapan beradik itu percaya, isterinya sedaya upaya melindungi anak perempuan mereka dengan memeluknya dan kemungkinan menerima kesan serius akibat hentakan kemalangan tersebut.

"Saya hanya fikirkan keadaan anak perempuan saya, Lufiya Mikayla, 2, yang kini sedang bertarung nyawa dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar,” ujarnya.

Mohd Fadzil memaklumkan, jenazah isterinya selamat dikebumikan di kampung halamannya di Padang Temusu pada 10 pagi sementara jenazah ibunya dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Haji Ngah pada 11 pagi Ahad.

"Saya perlu failkan laporan polis berhubung kemalangan itu sebelum ke HSB untuk menjaga anak perempuan saya.

"Kedua-dua anak saya sangat rapat dengan ibu mereka, terutamanya anak perempuan.

"Saya juga akan merindui masakan ibu saya, terutama gulai kegemaran saya, kini hanya akan jadi kenangan,” katanya.

Walaupun dunianya seakan berkecai, Mohd Fadzil mengakui dirinya perlu kuat menerima takdir demi untuk kebaikan anak-anaknya.

"Saya perlu terima kenyataan walaupun pahit, saya perlu jadi kuat untuk besarkan anak saya, mereka masih kecil," tambahnya.