Tanah jerlus: Lokasi terus jadi tumpuan, tular hingga ke Indonesia

Iklan
Lokasi kejadian tanah jerlus terus menjadi tumpuan orang awam. (Gambar kecil: Effy Susanti, Kalaichelvi, Safti Maularossa)

KUALA LUMPUR - Lokasi tanah jerlus di Jalan Masjid India dekat sini terus menjadi tumpuan orang awam termasuk dalam kalangan pelancong dari Indonesia yang mengetahui mengenai insiden terbabit selepas tular di media sosial.

Seorang pelancong dari Indonesia, Effy Susanti Umar Said, 46, berkata, berita mengenai kejadian terbabit diketahui menerusi aplikasi TikTok yang tersebar secara meluas di negaranya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesempatan berkunjung ke Malaysia sejak tiga hari lalu tidak dilepaskan untuk singgah ke lokasi kejadian.

"Masjid India memang tidak asing bagi saya kerana sering berkunjung ke sini untuk memborong tudung memandangkan saya berniaga di Medan, malah saya juga pernah duduk di kerusi berhampiran lokasi kejadian," katanya sewaktu tinjauan Sinar Harian di lokasi pada Ahad.

Iklan
Kalaichelvi (dua dari kiri) bersama suami dan anak-anak mengambil peluang hujung minggu untuk lihat secara dekat lokasi kejadian.

Effy Susanti berkata, kejadian itu berlaku di luar jangka dan bukan penghalang buatnya untuk terus berkunjung ke Masjid India.

"Saya akan terus datang ke Masjid India seperti biasa cuma akan lebih berhati-hati dan mematuhi arahan keselamatan disediakan.

Iklan

"Pembangunan di sini juga sudah agak berusia, harap kawasan ini dapat dinaik taraf dan meningkatkan aspek keselamatan buat pengunjung di sini," katanya yang telah empat kali berkunjung di Kuala Lumpur.

Seorang lagi pelancong Indonesia, Safti Maularossa Mohd Firman Maulana, 25, berkata, Masjid India dan Chow Kit tidak asing buatnya kerana kerap berulang-alik dari Medan ke Kuala Lumpur sekurang-kurangnya empat bulan sekali.

Safti dari Medan memberitahu, dia juga pernah membesar dan bersekolah di Malaysia kira-kira lima tahun sebelum menyambung persekolahan di negaranya.

"Saya tahu dari TikTok tular kejadian mangsa jatuh dalam lubang dan sampai sekarang belum ditemui.

"Terkejut dengan nasib menimpa mangsa, jadi bila datang ke sini sejak semalam memang menginap di sekitar sini untuk lihat lokasi kejadian.

"Semoga keluarga mangsa berlapang dada dan pada masa sama saya harap pihak agensi terlibat dapat menjalankan kerja-kerja pembaikan secara menyeluruh supaya pelancong lebih yakin tahap keselamatan di sini," katanya.

Sementara itu, sebuah keluarga dari Pelabuhan Klang mengambil peluang cuti hujung minggu untuk datang ke lokasi kejadian.

Ibu kepada enam anak, P Kalaichelvi, 39, memberitahu anak-anaknya meminta untuk dibawa ke Masjid India bagi melihat secara dekat tempat kejadian.

"Sebelum ini kami ikuti perkembangan insiden dari media sahaja, kami turut sedih dengan nasib menimpa mangsa dan turut berdoa mangsa ditemui dengan selamat.

"Masa sampai ke sini agak takut juga sebab bawa anak-anak yang masih kecil. Saya harap kerajaan ambil iktibar dan ambil langkah perlu bagi mengelak insiden berulang," katanya.

Dalam kejadian 23 Ogos, insiden tanah jerlus melibatkan seorang mangsa merupakan pelancong dari India berusia 48 tahun yang terjatuh ke lubang berkenaan yang kedalaman dianggarkan lapan meter.

Susulan kejadian operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan terdiri Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Indah Water Konsortium bagi mengesan mangsa.

Operasi perniagaan beroperasi seperti biasa namun lokasi kejadian terus ditutup bagi laluan pengguna.

Bagaimanapun, pada Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengumumkan operasi SAR itu dihentikan serta-merta.

Keputusan menamatkan SAR pada hari kesembilan itu dilakukan selepas mengambil kira pandangan sudut pakar daripada agensi terlibat selain faktor keselamatan pasukan penyelamat.