Pusat mengundi dibuka di dua negeri timur Jerman

Iklan
Perdana Menteri Thuringia, Bodo Ramelow (kiri) mengucapkan selamat tinggal kepada jawatankuasa pilihan raya selepas mengundi dalam pilihan raya negeri Thuringia di Erfurt, Jerman pada Ahad. - Foto: EPA

BERLIN - Pusat mengundi dibuka pada Ahad bermula 8 pagi (0600 GMT) bagi membolehkan pengundi membuang undi dan menentukan keseimbangan kuasa di dua negeri timur Jerman, Thuringia dan Saxony.

Pilihan raya parlimen negeri ini, yang masing-masing mempunyai kuasa yang besar ke atas hal ehwal wilayah, boleh memberi kesan di seluruh negara.

Iklan
Iklan

Pusat mengundi di kedua-dua negeri akan dibuka sehingga jam 6 petang.

Tumpuan utama adalah pada prestasi parti sayap kanan Alternatif untuk Jerman (AfD), yang berkemungkinan menjadi parti terkuat dalam pilihan raya negeri buat kali pertama.

Iklan

Sementara itu, tiga parti dalam gabungan nasional Canselor Olaf Scholz yang sering bertelagah dan tidak popular, dijangka mencatat keputusan lebih buruk, yang boleh memperdalam perpecahan dalam kalangan menteri, dengan setahun lagi sebelum pilihan raya parlimen peringkat nasional yang dijadual pada September 2025.

Tinjauan sebelum pilihan raya Ahad menunjukkan AfD mendahului dengan jelas di Thuringia dan ketinggalan tipis di belakang Demokrat Kristian (CDU) di Saxony.

Iklan

Pemimpin AfD yang berpengaruh di Thuringia, Bjorn Hocke, bekas guru sejarah, disabitkan kesalahan dan didenda dua kali tahun ini kerana menggunakan slogan Nazi yang diharamkan. Beliau masih menghadapi satu lagi kes jenayah yang belum selesai atas dakwaan menghasut.

Perisikan domestik mengkategorikan AfD di Thuringia dan Saxony sebagai kumpulan pelampau sayap kanan dan sedang memantau parti itu sebagai kumpulan pelampau yang disyaki di Brandenburg dan peringkat nasional. - Bernama