SHAH ALAM - Biarpun kebersihan adalah sebahagian daripada tuntutan agama dan mencerminkan keperibadian seseorang individu namun isu tahap kebersihan tandas awam termasuk di restoran, pusat beli belah, pejabat kerajaan mahu pun kawasan rehat dan rawat di sepanjang konsesi lebuh raya mahu pun di rumah masih menjadi topik perbualan hangat.
Ini kerana isu tandas kotor bukan hanya berkaitan dengan keselesaan dan pencemaran bau semata-mata, malah jika kemudahan awam itu tidak dijaga dengan baik maka ia boleh menjadi lubuk pembiakan binatang dan serangga seperti tikus, nyamuk aedes dan lipas.
Selain itu, tandas yang kotor juga berpotensi menjadi tempat penyebaran pelbagai jenis virus, bakteria dan kuman seperti escherichia coli (E-coli), salmonella dan norovirus.
Untuk rekod, E-coli adalah sejenis mikroorganisma patogenik yang boleh menyebabkan cirit-birit, demam dan kesakitan abdomen, manakala norovirus dianggap sebagai penyebab paling umum daripada gastroenteritis akut (penyakit cirit-birit dan muntah) di seluruh dunia.
Pensyarah dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Malina Osman berkata, tandas kotor juga boleh menjadi punca jangkitan penyakit bawaan makanan atau air andai berlaku pencemaran silang dengan makanan atau sumber air minuman.
Antara penyakit berjangkit yang dikaitkan dengan tandas kotor dan pencemaran air ialah pernafasan akut, konjunktivitis (sakit mata), leptospirosis (kencing tikus), cirit-birit, hepatitis A, taun atau kolera, demam kepialu (tifoid), demam denggi dan keracunan makanan.
Tambahnya, tandas yang kotor juga boleh menyebabkan penyakit seperti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dan lain-lain penyakit yang boleh ditularkan melalui pencemaran najis.
Malah katanya, tandas yang dimiliki individu yang sangat menitikberatkan aspek kebersihan sekali pun mungkin tidak terkecuali daripada berhadapan dengan situasi bilik air mereka ‘tercemar’ dengan patogen.
"Sebelum ini, media antarabangsa juga melaporkan bahawa suatu ketika dulu pihak berkuasa di Hong Kong pernah mengesan terdapat kes jangkitan wabak Influenza A (H1N1) yang berlaku akibat limpahan air tandas seterusnya menjangkiti orang lain,” katanya kepada Sinar Premium.
Ujarnya, kebersihan tandas awam dan di rumah juga mencerminkan tahap kebersihan diri, reputasi dan pemikiran seseorang individu sama ada beliau adalah seorang pembersih atau pengotor.
Menurutnya, masalah kebersihan tandas juga boleh memberikan imej atau reputasi buruk kepada sesebuah organisasi sama ada pemilik premis kedai makan, pejabat kerajaan atau swasta.
Bagaimanapun, ujarnya, isu tandas kotor boleh diselesaikan secara baik dan cepat kerana majoriti rakyat Malaysia terdiri daripada mereka yang pembersih.
"Ramai rakyat Malaysia boleh menjaga kebersihan tandas di rumah sendiri namun sebahagian masih gagal berbuat demikian apabila mereka menggunakan kemudahan di tempat awam,” ulasnya.