SEBAIK sahaja Mahkamah Sesyen Shah Alam memutuskan pendakwah selebriti, Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful bersalah, berita tersebut dengan cepat menjadi tular di media sosial.
Ia menjadi topik paling hangat yang dibincangkan pada Jumaat lalu. Pelbagai respons dan kupasan dibuat warga maya terhadap kes ini.
Selain terkejut dengan berita tersebut dan akur dengan keputusan mahkamah, ada juga yang berasa simpati.
Simpati kepada Syed, kepada isterinya dan kepada anak mereka yang baru 16 hari lahir ke dunia.
Simpati kepada isteri dan anaknya boleh diterima kerana isterinya masih dalam pantang, kemudian diduga pula dengan nasib suaminya yang didapati bersalah.
Simpati kepada anaknya yang baru 16 hari lahir apabila mengenangkan perjalanan hidupnya yang bakal membesar tanpa kasih sayang sepenuhnya daripada seorang insan bernama ayah.
Simpati kepada Da’i Syed? Hakim Norazlin Othman ketika penghakimannya memaklumkan bahawa, tindakan Da’i Syed tidak wajar dilakukan kerana telah mempergunakan mangsa yang lemah.
Bukan itu sahaja, hukuman yang diterimanya itu juga akan memberikan kesan kepada orang awam terutama masyarakat Islam di negara ini.
Mahkamah mengambil kira peranan yang sering dimainkan oleh tertuduh dalam memberikan ceramah agama dan motivasi.
Mahkamah juga mempertimbangkan kesan trauma kepada mangsa kerana membabitkan wanita dan kehormatan.
Para pendakwah adalah penyampai risalah Islam dan juga duta Islam yang membawa imej Islam, sudah tentu mereka wajib mengikuti contoh akhlak mulia Rasulullah SAW.
Sikap atau tingkah laku sedemikian bukan sahaja memberi persepsi buruk kepada kelompok agama khususnya Islam, malah mencemarkan nama baik golongan tertentu.
Para pendakwah merupakan model yang menjadi perhatian dan contoh kepada masyarakat walau di mana sahaja berada, sama ada dalam bentuk bicara atau perbuatan mereka.
Jika kontroversi demi kontroversi ditimbulkan oleh golongan pendakwah, apa lagi contoh baik yang boleh ditonjolkan kepada masyarakat?
Simpati pun ada hadnya. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Jadikan perkara ini sebagai pengajaran kepada semua khususnya pendakwah muda.