Dulu bantu bapa berniaga di pasar malam

Iklan
Mohamad Nor Helmy sedang menyediakan soto untuk pelanggan yang datang menjamu selera di kedainya.

Iklan
Iklan

KUALA SELANGOR - Sejak kecil, Mohamad Nor Helmy Samsudin, 42, sering mengikut Allahyarham bapanya menjual soto di pasar malam sekitar Kuala Selangor.

Perniagaan menjual soto di pasar malam diusahakan Allahyarham Samsudin Ridzwan sejak tahun 1977 lagi.

Iklan

Berikutan permintaan tinggi terhadap menu berasal dari Jawa itu, Allahyarham akhirnya membuka sebuah warung kecil di hadapan rumahnya di Pasir Penambang, Kuala Selangor pada tahun 2004.

Bertitik tolak dari situ, perniagaan diusahakan terus berkembang dan tiga tahun selepas itu berpindah ke tapak sedia ada di tepi Jalan Persekutuan Kuala Selangor-Klang.

Iklan

Kini, kedai makan dikenali Warong Soto Pasir Penambang beroperasi sejak 17 tahun lalu sememangnya dikenali dan menjadi tempat persinggahan utama pengunjung yang melalui lebuh raya berkenaan.

Mohamad Nor Helmy berkata, kehidupan awal remajanya tidak sama seperti rakan lain kerana masanya lebih banyak di pasar malam bagi membantu Allahyarham bapanya.

Hidangan soto.

"Walaupun masih kecil, tetapi saya tidak sesekali merungut, sebaliknya memasang niat untuk mengembangkan perniagaan warisan ini apabila dewasa kelak,” ujarnya.

Mohamad Nor Helmy anak kelima daripada enam beradik memberitahu, pendedahan kepada bisnes itu memberi pengalaman berharga dan mengetahui ‘jatuh bangun’ dalam perniagaan.

Jelasnya, legasi bapanya kini diusahakan bersama kakaknya, Nor Zakiah Samsudin, 55, dan sehingga kini mempunyai tiga cawangan termasuk di Pasir Penambang.

"Alhamdulillah, berkat kerja keras untuk memajukan bisnes ini, kami berjaya membuka cawangan lain di kawasan bandar iaitu di Seksyen 6, Shah Alam dan Setia Alam,” jelas beliau.

Mengulas mengenai cabaran terbesar menjalankan perniagaan, Mohamad Nor Helmy mengakui kenaikan harga bahan mentah antara perkara paling merisaukan peniaga.

"Bagi saya cabaran tentang persaingan lumrah biasa, tetapi paling terkesan setiap kali harga barang mentah naik.

"Kita cuba menjual pada harga murah, tetapi kos pula tinggi dan cabaran ini memberi tekanan kepada peniaga.

"Jika jual mahal, pelanggan pula tak datang, tetapi apa pun kita sedaya upaya mengekalkan harga munasabah di samping mengekalkan kualiti penyediaan makanan,” tambahnya.

Mohamad Nor Helmy dan Nor Zakiah menunjukkan tauge yang ditanam mereka sendiri.

Menurut Mohamad Nor Helmy, sehingga kini, menu soto warisan diusahakannya itu masih mengekalkan harga murah iaitu serendah RM5.

Jelasnya, selain soto, beberapa menu lain turut ditawarkan kepada pelanggan antaranya, pecal, nasi goreng, bihun dan nasi ayam penyek dengan harga berbeza.

Ujarnya, lebih istimewa mereka menanam tauge sendiri dan memerlukan sebanyak lima kilogram sehari.

"Kelebihan kami ialah menanam tauge kerana inginkan rasanya lebih rangup dan segar selain rempah ratus asli bagi menambahkan lagi keenakannya,” tambahnya.

Ujarnya, pelanggan yang datang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk dari luar negara.

"Pernah ada pelancong Jepun singgah ke warung kami ingin menikmati kuah soto berasaskan sup.

"Alhamdulillah, maklum balas kami terima sangat menggalakkan kerana ia secara tidak langsung dapat mempromosikan makanan tempatan kepada pelancong luar,” ujarnya.

Katanya, pada masa hadapan, dia merancang untuk menjual rempah soto dan sambal pecal yang sudah siap untuk dijual kepada pelanggan.

Jelasnya, produk itu diharap dapat dikembangkan dan menjadi jenama terkenal di seluruh negara selain memberi peluang melahirkan lebih ramai usahawan.

"Setakat ini kita menjual rempah soto dan sambal pecal secara kecil-kecilan dan bercadang untuk membuka sebuah kilang bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Kita berharap menu ini dapat dikekalkan dari generasi ke generasi seterusnya menubuhkan koperasi keluarga pada masa akan datang,” tambahnya.