Eddy tuai pingat pertama Malaysia dari Paralimpik 2024

Iklan
Eddy meraikan kejayaan podium bersama Jalur Gemilang di Stade de France. Foto: MSN

KONTINJEN Malaysia pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 berjaya menuai pingat pertama apabila atlet olahraga negara, Eddy Bernard menyumbang gangsa menerusi acara 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal) di Stade de France, Paris.

Atlet dari Sabah yang berlari di lorong ketiga bermula dengan baik di awal perlumbaan namun kehilangan sedikit momentum di tengah saingan sebelum berjaya melintasi garisan penamat dengan catatan11.58 saat (s).

Iklan
Iklan

Lebih manis, kejayaan atlet berusia 23 tahun itu pada penampilan sulung di pentas Sukan Paralimpik turut memecahkan rekod Asia milik wakil Sri Lanka, Indika Gamage iaitu 11.75s pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun.

Dalam pada itu, pingat emas disambar wakil Afrika Selatan, Mpumello Mhlongo dengan catatan 11.12s manakala pingat perak menjadi milik atlet Cuba,Yamel Luis Vives Suares dengan masa 11.20s.

Iklan

Sementara itu, Eddy tidak melihat kekurangan fizikal menghalang dirinya daripada berjaya mengharumkan nama negara dengan menjelmakan kilauan pingat sulung pada Paralimpik Paris 2024.

Eddy (kanan) bersama pemenang pingat lain. Foto: MSN

Walaupun dilahirkan dengan keadaan tangan dengan sebahagian jari bersambung dan kaki kecil di bahagian kanan, atlet dari Beluran, itu sentiasa berfikiran positif malah sering meletakkan dirinya mampu membuat apa yang manusia dilahirkan dalam keadaan cukup sifatnya lakukan.

Iklan

"Bila lihat orang lebih sempurna fizikalnya boleh buat, saya pun boleh. Saya selalu cuba positifkan diri saya.

"Kadang-kadang pernah rasa rendah diri namun saya cuba alih fikir benda lain dan lawan diri untuk an positif...jangan fikir negatif," katanya ketika ditemui pada zon campuran.

Eddy juga sememangnya dapat merasakan mampu menyumbang pingat pertama negara pada hari keempat temasya sukan berprestij dunia itu.

Katanya, kata-kata azimat jurulatihnya, Hamberi Mahat sebelum pertandingan juga banyak membakar semangatnya melakar kejayaan tertinggi dalam karier sejak mula mewakili negara pada 2017.

"Coach kata bantai, bantai dan langgar sahaja, jangan banyak fikir, fikir diri sendiri sahaja," kata anak bongsu daripada enam beradik itu.

Pemenang perak Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 itu juga pada masa sama mahu mendedikasikan pingat gangsa dimenanginya kepada keluarga, Hamberi dan rakan-rakan atas dorongan diberikan mereka kepadanya selama ini.

Sukan Paralimpik Paris 2024 yang bermula 28 Ogos berakhir 8 Ogos ini. - Bernama