Saya bukan Harry Potter - Ten-hag

Iklan
Erik ten Hag. Foto AFP

PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag berkata, dia bukan Harry Potter dan bertegas pasukannya mempunyai peluang besar untuk menjulang trofi musim ini walaupun mereka tewas 0-3 di tempat sendiri kepada Liverpool.

Liverpool terlalu unggul buat United dengan dua gol daripada Luis Diaz dalam tempoh tujuh minit separuh masa pertama di Old Trafford.

Iklan
Iklan

Mohamed Salah menambah gol ketiga The Reds sembilan minit selepas perlawanan bermula semula dan United bernasib baik untuk tewas dengan jaringan lebih besar.

Ia adalah hari yang buruk untuk Ten Hag dengan United kini berada di tangga ke-14 dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL).

Iklan

Bagaimanapun, Ten Hag enggan menerima pandangan negatif tentang keputusan itu, sambil memberitahu tiada siapa yang sepatutnya mengharapkan dia menghasilkan keajaiban.

"Saya bukan Harry Potter, anda perlu mengakui itu. Untuk tiga pemain ia adalah permulaan pertama mereka musim ini.

Iklan

"Manuel Ugarte tidak bermain dan dia perlu membina kecergasannya. Kemudian kami perlu menyesuaikan dia ke dalam pasukan. Saya pasti dia akan menyumbang kepada pasukan kami.

"Ia akan mengambil masa beberapa minggu, mungkin sebulan. Itu adalah sama untuk kebanyakan pemain," katanya.

Ten Hag memasukkan penyerang, Joshua Zirkzee dalam kesebelasan utama namun kurang memberikan impak diharapkan.

Matthijs de Ligt pula kelihatan tidak selesa di bahagian pertahanan bersama Lisandro Martinez, manakala pemain tengah England, Kobbie Mainoo sering mati langkah dihalang Ryan Gravenberch, yang cemerlang di posisi tengah untuk pasukan pelawat.

Bekas jurulatih Ajax itu berkata, dia mempunyai visi yang berbeza dan mengingatkan bahawa mereka juga pernah memenangi trofi dan mengalahkan pasukan yang lebih hebat.

"Saya tidak mahu bercakap tentang perkara positif hari ini. Kekalahan ini menyakitkan kami dan penyokong kami.

"Ia adalah perlawanan ketiga musim ini. Saya terpaksa menjelaskan perkara ini berkali-kali. Kami perlu membina pasukan baharu. Kami akan bertambah baik.

"Pada penghujung musim saya cukup yakin kami akan mempunyai peluang besar untuk menjulang satu lagi trofi," katanya.