KUALA LUMPUR - Parti Amanah Negara (Amanah) menolak perlaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Naib Presidennya, Khalid Abdul Samad berkata, perkara itu juga masih belum dibincangkan di peringkat Kabinet.
Bagaimanapun beliau berkata, pada dasarnya, Amanah tidak bersetuju dengan perkara itu kecuali adanya hujah-hujah yang kukuh.
"Subjek-subjek yang susah difahami perlu diajar dalam bahasa yang muda difahami. Tetapi kalau kita ajar dalam bahasa yang orang tak faham, susah untuk difahami, maka ia menambahkan kesukarannya.
"Tapi kita terbuka untuk perbincangan jadi kita mahu lihat apa yang dicadangkan. Kalau benar mahu mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, maka kita nak dengarlah hujah-hujahnya," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Konvoi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MPPWP) di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, tenaga pengajar untuk mengajar dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris sendiri tidak mencukupi.
"Untuk masa sekarang mereka dilatih untuk mengajar dalam bahasa Melayu, tiba-tiba kita tidak boleh terus tukar untuk mula mengajar dalam bahasa Inggeris.
"Ketika isu PPSMI dibawa pada zaman BN (Barisan Nasional), pendirian kita adalah jelas. Kita percaya kita mahu tingkatkan standard bahasa Inggeris, perlu tambah masa dalam pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri," katanya.
Katanya, Jika PPSMI mahu dilaksanakan sudah pasti ia akan dibawa ke Kabinet dan dibincangkan.
Tambahnya, beliau juga yakin Dr Mahathir sebagai seorang yang komited kepada konsep konsensus dalam Kabinet dan sedar akan situasi semasa tidak sama dengan zaman BN.
"Kita ada pakatan yang kuat yang mana setiap parti mempunyai pendirian dan ia sangat penting untuk membawa isu kontroversi ke Kabinet menerusi debat dan perbincangan sebelum keputusan muktamad dicapai," katanya.