Pendakwaan mohon CCTV kes lelaki Israel tidak didedahkan

Iklan
Avitan yang memiliki pasport warga Perancis dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, bagi prosiding sebutan dua kes memiliki 200 peluru dan memperdagangkan enam pistol pada Isnin.

KUALA LUMPUR – Pendakwaan memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, supaya pihak pembelaan tidak mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kepada pihak lain.

Ia berhubung dua kes memiliki 200 peluru dan memperdagangkan enam pistol dihadapi seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom, 38.

Iklan
Iklan

Semasa sebutan kes di hadapan Hakim, Norina Zainol Abidin, Timbalan Pendakwa Raya, Rullizah Abdul Majid berkata, semua dokumen berkaitan kes, termasuk rakaman tersebut telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

"Kami mohon CCTV itu tidak diserahkan kepada mana-mana pihak atau umum memandangkan rakaman berkenaan telah dianalisis oleh pihak forensik,” katanya yang mengesahkan ia akan dijadikan ekshibit kes.

Iklan

Bagaimanapun, peguam, Jeffrey Ooi yang mewakili lelaki yang beralamat di Bnei Brak, Israel tersebut memohon mahkamah membenarkan pihak pembelaan menyerahkan rakaman tersebut kepada spesialis.

"Hanya saksi pakar kami, harap mahkamah benarkan untuk pembelaan membuat pemerikaaan atau analisa,” katanya yang kemudiannya dibenarkan oleh mahkamah.

Iklan

Dalam prosiding sama, Rullizah memohon mahkamah melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini.

Katanya, ini kerana prosiding kes sepanjang dua minggu itu bertindih dengan kes-kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Avitan yang memakai baju T berwarna putih, dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin.

"Jika dibenarkan kami berharap perbicaraan yang ditetapkan bermula 30 September ini dijadikan sebutan kes terlebih dahulu,” katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd (150 peluru) dan 42 peluru dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9x19 (Nombor Siri AEGS286), Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463), Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496), Glock 17 Gen4 Austria 9x19 (Nombor Siri: BDZZ090), M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304).

Kes dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara 6.46 petang, 26 Mac dan 6 petang, 28 Mac lepas.

Ringkasan berita:

  • Pendakwaan Memohon CCTV Tidak Didedahkan: Kes melibatkan Avitan Shalom, seorang lelaki Israel yang didakwa memiliki peluru dan memperdagangkan senjata.
  • Rakaman CCTV Sebagai Bukti: CCTV telah dianalisis oleh pihak forensik dan akan dijadikan ekshibit kes.
  • Pihak Pembelaan Memohon Akses: Peguam pembelaan memohon supaya saksi, pakar mereka dibenarkan memeriksa dan menganalisis rakaman tersebut.
  • Tarikh Perbicaraan Ditangguhkan: Pendakwaan memohon supaya tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelumnya dilapangkan.
  • Pertuduhan Terhadap Tertuduh: Avitan Shalom menghadapi dua pertuduhan, yaitu memiliki peluru tanpa lesen dan memperdagangkan enam senjata api di sebuah bilik hotel di Kuala Lumpur.
  • Hukuman yang Dihadapi: Jika disabitkan, tertuduh berdepan hukuman penjara hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang dari enam kali di bawah Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Dijana oleh AI