SUNGAI PETANI - Kajian berkaitan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya sedang dimuktamadkan.
Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata, pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Khas Teknikal masih mengkaji beberapa aspek berkaitan sebelum menyediakan laporan berkenaan.
Menurutnya, bagaimanapun tidak dapat dipastikan jangka masa yang diperlukan bagi melengkapkan kajian berkenaan.
"Kajian empirikal di beberapa buah negara juga dijalankan bagi mengenal pasti model yang sesuai untuk negara kita.
"Prosesnya masih dalam kajian, saya rasa pasukan dari Jabatan Peguam Negara (AGC) turut serta dalam komuniti tersebut dan menjalankan kajian,” katanya ketika ditemui selepas Program Santuni Madani di Program Perumahan Rakyat (PPR) Paya Nahu di sini pada Isnin.
Ahmad Terrirudin berkata, kajian berkenaan diuruskan bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, reformasi pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah satu proses yang panjang.
Beliau berkata, sebagai negara yang mempunyai pelbagai undang-undang, kerajaan memerlukan lebih banyak masa untuk melakukan kajian menyeluruh dan mendalam supaya keputusan yang dibuat tidak berubah di kemudian hari.
Pada 9 Oktober lepas, Azalina memaklumkan, agenda pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dilakukan secara berfasa selepas kerajaan mengambil kira kerumitan serta cabaran pelaksanaannya.
Menerusi fasa pertama, Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif sedang menjalankan kajian ke atas beberapa negara bagi meneliti dan merangka model paling sesuai dalam konteks Malaysia.
Fasa kedua pula membabitkan Pasukan Petugas Khas Teknikal akan meneliti secara komprehensif implikasi perundangan, perjawatan dan kewangan sebelum menyediakan Laporan Interim untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Fasa ketiga merangkumi sesi libat urus bersama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak serta pihak berkepentingan termasuk agensi penguatkuasaan.
Dalam pada itu, Ahmad Terrirudin yang berasal dari Sungai Petani memaklumkan, program Santuni Madani diperkenalkan bagi mendedahkan komuniti setempat berkaitan bantuan dalam aspek guaman, pendidikan, sosial dan sebagainya.
"Saya pilih PPR Paya Nahu sebagai tempat melaksanakan program kerana pernah melawat ke sini ketika menjadi Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah, saya dapati perumahan ini memerlukan pelbagai bentuk bantuan,” ujarnya.
Menurutnya, program cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini diharap dapat memanfaatkan penduduk secara berterusan.
"Perdana Menteri mahu semua ketua jabatan atau perkhidmatan kembali ke kampung halaman masing-masing untuk salurkan sumbangan.
"Perlu diberikan pendedahan berkaitan aspek-aspek tertentu dan kesannya termasuk kes melibatkan jenayah. Turut dibuka kaunter Jabatan Bantuan Guaman, serta pelbagai jabatan bawah Kerajaan Persekutuan dan negeri," katanya.