SKUAD KPT-Masum Knights yang membuat penampilan kedua dalam saingan utama Liga Sepak Takraw (STL) 2024 musim ini membuat sasaran realistik untuk berada dalam kelompok empat terbaik.
Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr Hanafiah Ayub berkata, gabungan pemain berpengalaman dan baharu mampu memacu pasukan itu untuk mencapai sasaran tersebut.
Beliau berkata, pembentukan kelompok tersebut adalah sebagai usaha membentuk keseimbangan dalam kalangan pemain lama dan baharu.
"Andai kita tidak bentuk generasi baharu, maka akan ada jurang yang besar dalam kalangan pemain antara pelajar di tahun akhir dan tahun pertama.
"Sasaran seperti musim lepas iaitu empat terbaik. Kita hampir mencapainya pada edisi lalu, namun apabila menuju akhir musim disebabkan beberapa kekalahan kedudukan jatuh ke tempat keenam.
"Kali ini kita optimis untuk mencapai sasaran untuk berada dalam kelompok empat teratas" katanya ketika ditemui media selepas majlis memperkenalkan skuad di Putrajaya pada Isnin.
Skuad penuntut universiti itu bakal dibarisi kapten, Najmi Syahfiq Anuar, Muhammad Faisal Mohd Fuad, Muhammad Amar Roslan dan Khairul Hafifi Tajudin.
Turut membarisi skuad ialah Nur Haziq Norali, Amir Syahiran Mohd Puzi, Muhammad Aiman Hakim Zakari dan Muhammad Haikal Huzaimi Abd Razak.
Dalam pada itu, Hanafiah menjelaskan bagi merealisasikan sasaran tersebut pihaknya melakukan perubahan ke atas barisan kejurulatihan apabila melantik Rul Amri Hashim sebagai ketua jurulatih.
"Komponen paling penting adalah pengalaman. Jadi pemain berbakat perlu didedahkan dengan jurulatih berpengalaman," katanya.
Malah beliau turut menzahirkan harapan agar lebih ramai pemain dalam kalangan penuntut universiti dapat mewakili negara pada masa depan.
"Thinking athlet. Ia merupakan dasar kementerian. Mereka mudah dibentuk daripada segi fikiran.
"Mereka perlu ambil peluang dan berfikir secara matang," katanya.