LEGENDA bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail percaya penyokong Harimau Malaya tidak akan memboikot aksi Pestabola Merdeka walaupun tiket untuk aksi separuh akhir pada Rabu ini dilaporkan hanya terjual kurang 1,000 keping.
Menurutnya, sudah menjadi kebiasaan untuk peminat bola sepak di negara ini membeli tiket pada minit akhir dan yakin jumlah jualan tiket akan meningkat pada hari perlawanan.
"Cuma, sekarang ini mungkin musim hujan atau perlawanan diadakan hari bekerja dan orang agak sukar nak ke stadium.
"Namun, saya percaya menjelang hari perlawanan bilangan penonton ke stadium akan bertambah,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebelum ini, Ultras Malaya mengumumkan pendirian mereka untuk memboikot kejohanan Pestabola Merdeka selepas tidak berpuas hati dengan beberapa isu yang berlaku dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Dalam pada itu, Jamal juga mengakui tidak faham dengan sikap segelintir Ultras yang mahu memboikot aksi pasukan kebangsaan.
"Kenapa nak boikot sedangkan ini pasukan kebangsaan negara kita. Kesian kepada pemain dan pasukan yang akan beraksi dan mengharapkan sokongan peminat.
"Dalam masa sama, FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) buat kejohanan ini untuk kebaikan pasukan kebangsaan. Saya rasa yang bising hanya segelintir daripada puluhan juta rakyat Malaysia.
"Kalau tidak mahu datang tengok, tak apalah tiada paksaan. Kepada yang nak datang, silalah hadir ke stadium beramai-ramai,” katanya.