Dua maut nahas empat kenderaan

Iklan
Dua maut dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 15, Jalan Kota Tinggi-Mersing di sini, pada Isnin. Foto BBP Kota Tinggi

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Dua maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 61.5, Jalan Johor Bahru-Mersing di sini, pagi Isnin.

Iklan
Iklan

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Mohd Syamsuri Mohamad berkata, seorang wanita berusia 51 tahun yang juga penumpang belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) Mitsubishi Xpander dan penunggang motosikal Yamaha 135LC lelaki berusia 21 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian melibatkan dua kenderaan berkenaan serta kereta Perodua Viva dan lori Isuzu, kira-kira jam 11.40 pagi.

Iklan

Kejadian melibatkan enam mangsa menaiki Mitsubishi Xpander, Perodua Viva, sebuah lori Isuzu dan sebuah motosikal jenis Y16. Foto BBP Kota Tinggi

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila MPV Xpander dari arah Johor Bahru ke Mersing dipercayai cuba memotong di garisan putus-putus, manakala kereta Viva dari arah bertentangan pula cuba mengelak ke sebelah kanan lalu terbabas ke bahu jalan, sebelum melanggar batu penanda jalan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, MPV yang hilang kawalan itu kemudiannya telah melanggar motosikal sebelum penunggang dan penumpang belakang Xpander tercampak ke bahu jalan.

"Satu objek iaitu 'jack' besi turut tercampak keluar dan terkena cermin hadapan lori sebelum mengenai dada pemandu," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Kota Tinggi manakala ketiga-tiga pemandu lain mengalami cedera ringan dan dirawat di hospital sama.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Foto BBP Kota Tinggi

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Abdul Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai nahas tersebut pada jam 11.52 pagi.

Katanya, seramai 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang melibatkan enam mangsa menaiki Mitsubishi Xpander, Perodua Viva, sebuah lori Isuzu dan sebuah motosikal jenis Y16.

"Dua mangsa meninggal dunia iaitu seorang perempuan dewasa dalam Mitsubishi Xpander dan seorang lelaki dewasa yang menunggang motosikal.

"Seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa dalam Mitsubishi Xpander cedera.

"Selain itu pemandu lori 5 tan terbabit dan juga seorang wanita dewasa dalam Perodua Viva turut cedera,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.