AMPANG - Pengumuman calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Selangor yang berlangsung di Hotel De Palma di sini hari ini dibatalkan selepas menunggu lebih dua jam.
Penangguhan dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Bersatu Negeri Selangor, Mohd Azizan Ismail menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira jam 5.30 petang tadi.
Iklan
Iklan
Sepatutnya, pengumuman tersebut bermula jam 3 petang, namun ditangguhkan beberapa kali oleh urusetia sehingga permakluman pembatalan rasmi itu diterima.
Sumber memaklumkan, penangguhan tersebut disebabkan masalah sistem di peringkat ibu pejabat menyebabkan senarai calon yang layak bertanding tidak dapat dikeluarkan.
"Pengumuman penangguhan itu dimaklumkan oleh urusetia kepada calon yang hadir di Hotel De Palma Ampang pada jam 5.40 petang selepas menerima pengesahan rasmi daripada pihak atasan.
"Dijangka keputusan calon itu akan diadakan esok, namun lokasi dan waktunya belum ditetapkan, mungkin diketahui selewat-lewatnya malam ini," katanya.
Pengumuman calon itu melibatkan 22 bahagian yang dipecahkan kepada empat bahagian dengan hari pemilihan akan berlangsung bermula 15 Februari hingga 29 Mac.