Henti gelar Rantau Panjang 'pekan hantu' - Peniaga

Iklan
Kenderaan pengunjung tidak putus-putus memasuki bandar Rantau Panjang pada cuti umum. Gambar kecil: Adrian Hakimi

RANTAU PANJANG - Peniaga di Rantau Panjang menafikan kawasan itu sebagai 'pekan hantu' kerana kegiatan ekonomi sentiasa rancak dan kawasannya sedang membangun.

Mereka turut kesal kerana ada pihak yang menggambarkan Pekan Rantau Panjang sebagai sunyi dan tidak menarik dengan memberi gambaran negatif terhadap keadaan kedai di beberapa lokasi di bandar itu.

Iklan
Iklan

Tinjauan Sinar Harian di Pekan Rantau Panjang pada hujung minggu dan cuti umum mendapati banyak kenderaan singgah di sepanjang kedai menjual pelbagai barangan selain memenuhi restoran dan kedai makan.

Restoran di Pekan Rantau Panjang sering dipenuhi pelanggan pada hujung minggu dan cuti umum.

Peniaga burger, Adrian Hakimi Mohd Don, 35, menafikan keadaan di Pekan Rantau Panjang semakin sunyi malah sambutan pelanggan sangat positif.

Iklan

Dia yang sudah lima tahun berniaga juga gembira kerana akan membuka satu lagi cawangan gerai burger miliknya kerana sambutan pelanggan amat menggalakkan.

"Jangan percaya dengan media sosial yang boleh memberi kesan negatif kepada peniaga. Pelancong boleh datang sendiri ke Rantau Panjang dan terus beri sokongan kepada kami sebagai peniaga tempatan," katanya.

Iklan

Adrian Hakimi turut menasihatkan peniaga supaya jujur dan tidak mengenakan harga berganda kepada pelancong dari luar Kelantan.

Sementara itu, peniaga makanan, Mustafa Abd Rahman, 35, berkata, sebagai sebuah bandar pelancongan, Pekan Rantau Panjang meriah pada hari tertentu terutama cuti umum.

"Kami menerima ramai kedatangan pelancong pada Khamis, Jumaat dan Sabtu kerana mereka tidak bekerja pada hari itu," katanya.

Mustafa yang sudah lima tahun berniaga memberitahu, ramai peniaga yang mengambil keputusan menutup kedai serta berehat pada Selasa dan Rabu kerana sudah berniaga pada cuti hujung minggu.

"Alhamdulillah setakat ini perniagaan saya tidak rugi dan berjalan seperti biasa," katanya.

Pekarangan Bazar Siti Fatimah dihias dengan pelbagai dekorasi untuk pelancong bergambar kenangan.

Beliau kesal kerana ada pihak mengambil kesempatan memburukkan Pekan Rantau Panjang sehingga digelar 'pekan hantu'.

Peniaga nasi lemak, Asmah Ibrahim pula tidak membuka kedainya pada Selasa dan Rabu kerana tidak ramai pelanggan yang datang.

Asmah juga bersetuju jika banyak kedai tidak beroperasi berikutan peniaga memfokuskan pada Jumaat dan Sabtu kerana Rantau Panjang menjadi tumpuan dua hari itu selain cuti umum.

"Mungkin ada individu yang mengambil gambar ketika banyak kedai tidak beroperasi untuk meraih simpati dengan cara mudah tetapi hakikatnya suasana di sini masih meriah dengan kedatangan pelancong," katanya.

Setakat ini difahamkan peniaga di Rantau Panjang akan menubuhkan persatuan bagi membolehkan kegiatan mereka lebih aktif pada masa akan datang.

Sebelum ini tular di media sosial rayuan seorang peniaga yang memohon orang ramai datang ke Rantau Panjang untuk mendapatkan barangan.

Susulan itu terdapat beberapa video lain yang memaparkan situasi kedai sunyi dan tiada sambutan sehingga ada pengendali media sosial yang memuat naik dengan dakwaan Rantau Panjang sebagai pekan hantu.