Polis rampas 58,000 liter minyak sawit mentah bernilai RM220,500

Iklan
Lori tangki dan stor haram penyimpanan minyak sawit mentah di sebuah kawasan Permas Jaya, Johor Bahru yang diserbu. Foto PDRM

JOHOR BAHRU – Polis merampas 58,000 liter minyak sawit mentah bernilai RM220,500 dalam serbuan Op Taring Palma di sebuah stor haram di Permas Jaya di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, serbuan dilakukan bermula tengah malam Ahad sehingga jam 10.18 pagi Isnin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis dari cawangan risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Bukit Aman bersama tiga pegawai penguat kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Johor.

"Hasil daripada serbuan terbabit, polis merampas tiga treler tidak bernombor yang mengandungi minyak sawit mentah jenis Crude Palm Oil (CPO) dengan anggaran kapasiti sebanyak 58,000 liter.

Iklan

"Barangan rampasan lain termasuk dua unit mesin pam, menara boiler, jentera angkat susun, alat penimbang dan sebuah lori. Semua hasil rampasan dianggarkan bernilai RM465,111 manakala anggaran nilai minyak sawit mentah RM220,500," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Lori tangki yang ditemui ketika serbuan dilakukan di kawasan sebuah stor di Permas Jaya.

Menurut Raub, pihaknya tidak membuat sebarang tangkapan kerana tiada penghuni atau penjaga berada di tempat kejadian ketika serbuan dilakukan.

Iklan

Ujarnya, kesemua barang rampasan diserahkan kepada MPOB Johor Bahru untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 78 Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM250,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

"Kes juga disiasat di bawah peraturan 5 perenggan 5(1)(b) iaitu mengalih minyak sawit tanpa lesen dan kesalahan di bawah peraturan 5(1)(d) iaitu menyimpan minyak sawit tanpa lesen yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM200,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahu atau kedua-duanya jika disabit kesalahan," ujarnya.

Ringkasan berita:

  • Rampasan Minyak Sawit: Polis merampas 58,000 liter minyak sawit mentah bernilai RM220,500 dalam serbuan di Permas Jaya.
  • Operasi: Serbuan dilakukan oleh pasukan polis dan pegawai MPOB Johor dari tengah malam Ahad hingga pagi Isnin.
  • Barang Rampasan: Tiga treler, mesin pam, boiler, dan lain-lain peralatan dengan nilai total rampasan RM465,111.
  • Tiada Tangkapan: Tiada tangkapan dilakukan kerana tiada penghuni di lokasi.
  • Siasatan dan Hukuman: Kes disiasat di bawah Akta MPOB 1998, dengan hukuman denda hingga RM250,000 atau penjara hingga tiga tahun.
Dijana oleh AI