TELUK INTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita sejumlah 23,015 kilogram (kg) minyak masak dalam pemeriksaan di sebuah syarikat pemborong di Langkap di sini pada Isnin.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sitaan dilakukan selepas premis itu disyaki menyimpan barang berjadual minyak masak melebihi had kuantiti yang dibenarkan.
Menurut beliau, tindakan itu adalah hasil daripada pemeriksaan harian yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa ke atas pemborong tersebut sekitar jam 11 pagi.
"Hasil pemeriksaan mendapati kuantiti semasa minyak masak melalui pengisytiharan stok, rekod belian dan rekod jualan minyak masak melebihi had simpanan yang ditetapkan dalam lesen iaitu hanya 10,000 kg.
"Dengan penemuan itu, pemilik perniagaan memperakui pengisytiharan stok tersebut dan menyimpan minyak masak melebihi had kuantiti yang dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Kamalludin berkata, kesemua minyak masak yang bernilai RM96,663 itu telah disita bagi siasatan dan tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.