BALIK PULAU - Kemeja-T tertera logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan nama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya yang dipakai seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh bukan untuk penugasan rasmi, kata Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kemeja-T dipakai lelaki itu dicetak pada 2016 untuk kegunaan aktiviti sosial seperti senaman dan gotong-royong.
Iklan
Iklan
"Pihak polis telah mengesan satu video tular berdurasi 19 saat pada 1.30 tengah hari semalam memaparkan seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh memakai kemeja-T tertera tulisan ‘IPD Barat Daya’ dan logo ‘PDRM’.
"Hasil siasatan mendapati baju itu dicetak pada 2016 untuk kegunaan aktiviti sosial seperti senaman, gotong-royong dan sebagainya serta bukan bagi penugasan rasmi IPD Barat Daya," katanya dalam kenyataan.
Kamarul Rizal sehubungan itu menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular itu dan pihaknya mengambil maklum isu terbabit.
Terdahulu tular rakaman video berdurasi 23 saat memaparkan lelaki tempatan merakamkan gelagat seorang lelaki yang didakwa warga Bangladesh memakai kemeja-T tertera logo PDRM serta nama IPD Barat Daya. - Bernama
Artikel Berkaitan