Vietnam mahu manfaatkan kepakaran Malaysia tembusi pasaran halal OIC

Iklan
ANTARA produk Vietnam yang menonjol dan laris adalah kopi dalam bentuk biji kopi hijau (belum dipanggang dan mentah), serbuk kopi asli serta biji kopi dipanggang. Foto CANVA

KEPAKARAN Malaysia dalam aspek pensijilan halal terbukti berharga dalam menggerakkan sektor halal Vietnam, sejajar hasrat Hanoi mengeksport produk pertaniannya menembusi pasaran 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Individu bertanggungjawab memacu langkah eksport halal Vietnam merangkumi pelbagai produk pertanian, akuakultur, farmaseutikal dan kosmetik adalah rakyat Malaysia, Ramlan Osman selaku pengarah Pihak Berkuasa Pensijilan Halal Vietnam (HALCERT) yang baru ditubuhkan.

Iklan
Iklan

Vietnam telah menubuhkan HALCERT di bawah Kementerian Sains dan Teknologi pada April lepas dengan matlamat bagi menyeragamkan serta menguatkuasakan standard halal.

Menurut Ramlan, antara produk Vietnam yang menonjol dan laris adalah kopi dalam bentuk biji kopi hijau (belum dipanggang dan mentah), serbuk kopi asli serta biji kopi dipanggang.

Iklan

"Jika memperoleh sijil dan cara proses menepati piawaian halal, produk-produk ini mempunyai potensi untuk menembusi pasaran OIC yang mempunyai penduduk berjumlah 2.01 bilion orang,” katanya.

Strategi Vietnam juga di landasan tepat memandangkan pasaran makanan halal dijangka berkembang kepada US$4.5 trilion menjelang 2030 daripada US$2.4 trllion pada 2024, didorong oleh peningkatan bilangan penduduk dan perbelanjaan pengguna Muslim.

Iklan

Pensijilan halal merupakan proses ketat bagi memastikan produk serta bahan ramuannya menepati garis panduan pemakanan Islam dan memastikan produk terbabit, termasuk kopi, pastri dan bahan kandungan lain dihasilkan menerusi proses bersih dan selamat dimakan oleh pengguna Muslim.

"Langkah mengguna pakai piawaian JAKIM yang mapan, membolehkan Vietnam memastikan produknya menepati keperluan bagi pensijilan halal antarabangsa, sekali gus membantu eksport produk dan perkhidmatan halal dari Vietnam.

"Sebagai sebuah negara pertanian, kebanyakan daripada produk yang kita cuba usahakan untuk mendapat sijil halal adalah dari sektor pertanian,” katanya.

Ditanya bagaimana usahawan Malaysia dapat meraih manfaat daripada penyertaan Vietnam ke dalam sektor halal, Ramlan berkata mereka boleh mendapatkan bahan mentah dari Vietnam dan memproses produk akhir di Malaysia sebelum dieksport ke negara-negara OIC.

RAMLAN. Foto Bernama

Selain biji kopi Arabica, Vietnam juga menghasilkan produk kacang gajus dan rempah ratus seperti lada hitam serta lada putih, buah pelaga dan kulit kayu manis yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia.

Ramlan yang memulakan syarikat perunding halal di Ho Chi Minh City pada 2019, turut menegaskan kesemua produk berpotensi tinggi dari Vietnam perlu memenuhi keperluan pematuhan halal dan sentiasa mengekalkan piawaian yang menepati cita rasa pengguna Islam.

Sehubungan itu, penubuhan HALCERT adalah pencapaian penting dalam perjalanan Vietnam untuk muncul sebagai hab yang diperakui bagi produk halal.

"Pihak berkuasa ditugaskan untuk menubuhkan dan menguatkuasakan piawaian halal, iaitu langkah kritikal untuk Vietnam menyesuaikan dengan amalan halal global,” katanya.

"Negara berkenaan telah mematuhi garis panduan dan piawaian yang ditetapkan JAKIM (dan) dengan mengguna pakai piawaian yang ditetapkan ini, produk Vietnam mudah diperoleh oleh pengguna Islam,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perkembangan pensijilan halal sedia ada di Vietnam, beliau berkata piawaian sebelum ini dibangunkan oleh sektor swasta yang mungkin tidak mempunyai kriteria tertentu.

BANDAR Ho Chi Minh, salah satu bandar yang popular di Vietnam. Foto CANVA

"HALCERT adalah badan kerajaan dan kami mematuhi set keperluan tertentu, terutamanya kerana ini sejajar dengan piawaian teliti JAKIM yang akan meyakinkan pengguna dan perniagaan berminat untuk menjalankan perniagaan dengan syarikat Vietnam,” katanya.

Ramlan berkata Vietnam yang banyak terlibat dalam pertanian dan akuakultur, menumpukan kepada pensijilan produk seperti kopi dan rempah untuk pasaran eksport.

"Kami bersedia untuk membekalkan bahan mentah dan Malaysia boleh berperanan sebagai hab untuk mengeksport produk halal ke negara-negara OIC," katanya.

Ramlan berkata pembangunan industri halal Vietnam masih di peringkat awal, justeru tiada statistik semasa mengenai produk yang disahkan halal atau angka pekerjaan dalam sektor itu.

Beliau yang sebelum ini berperanan sebagai Naib Presiden Halal Development Corporation (HDC), telah terlibat dalam latihan dan perundingan mengenai isu halal dengan agensi kerajaan, perusahaan, badan bukan kerajaan dan ahli akademik di Vietnam.

"Matlamat kerajaan (Vietnam) adalah untuk membangunkan industri ini dengan ketara menjelang akhir tahun ini, menyediakan data yang boleh dinyatakan kuantiti mengenai perkembangannya dan menjadikan Vietnam sebagai penggiat kompetitif di pasaran halal global yang berkembang pesat,” katanya. - Bernama