[VIDEO] Penoreh getah mengaku cederakan warga emas guna parang

Iklan

TAIPING - Seorang penoreh getah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping pada Selasa, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki menggunakan parang, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Suhardi Din, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Iklan
Iklan
Muhammad Suhardi dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Taiping selepas mengaku menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki menggunakan parang, minggu lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Omar Besar, 68, menggunakan sebilah parang yang mana jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang mungkin boleh menyebabkan kematian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Seri Tasik Ganda Temenggor, Gerik, sekitar jam 3.20 petang pada 27 Ogos lalu.

Iklan

Muhammad Suhardi didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ng Yan Ni memohon tertuduh untuk dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Iklan

"Semasa siasatan kemungkinan tertuduh berada di bawah pengaruh dadah dan status kesihatan mentalnya tidak berapa sihat," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu supaya tertuduh yang tidak diwakili peguam dirujuk untuk pemeriksaan mental dan menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.

Media melaporkan seorang nelayan darat berusia 68 tahun parah ditetak seorang lelaki menggunakan parang dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Air Ganda di Gerik.

Suspek yang mengenali mangsa dipercayai berada di bawah pengaruh dadah bertindak menyerang dan mengakibatkan mangsa mengalami luka dan patah tulang lengan kiri.

Ringkasan berita:

  • Pengakuan: Seorang penoreh getah, Muhammad Suhardi Din, 54, mengaku bersalah mencederakan seorang warga emas dengan parang.
  • Mangsa: Mangsa, Omar Besar, 68, mengalami luka dan patah tulang lengan kiri dalam serangan tersebut.
  • Pertuduhan: Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman penjara hingga 20 tahun, denda, atau sebat.
  • Pemeriksaan Mental: Mahkamah membenarkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemeriksaan mental.
  • Sebutan Semula: Kes akan disebut semula pada 1 Oktober di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.
Dijana oleh AI