SHAH ALAM - Novel bergenre thriller menjadi tumpuan utama pengunjung pada Jualan Gudang Awal Tahun Karangkraf yang berlangsung di Kompleks Karangkraf di sini bermula kelmarin sehingga 9 Februari ini.
Jika empat tahun sebelum ini novel bergenre cinta sering menjadi pilihan tetapi kini situasinya berubah apabila trend pembelian novel thriller mula mengambil tempat.
Editor Kanan Grup Buku Karangkraf (GBK), Mazuen Yahaya berkata, penangan novel thriller semakin menjadi-jadi sejak kemunculan penulis genre itu seperti Arifful Baqi (Survival), Ahmad Erkan (Vektor), Arman Jazee (LP.3) dan terbaharu karya penulis prolifik terkenal, Ramlee Awang Murshid berjudul Haura.
"Garapan daripada penulis yang menyelitkan pelbagai aksi seperti babak penyiasatan, penggunaan senjata api, konflik dan percintaan pasti menimbulkan perasaan ingin tahu pembaca untuk membaca babak seterusnya.
"Kebetulan pula sempena jualan gudang kali ini, Ramlee Awang Murshid ada Haura dan ia merupakan naskhah istimewa untuk peminat novel thriller dan cinta kerana penceritaannya yang mengangkat kisah cinta detektif polis serta berlatar belakangkan lokasi di Melbourne,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Menurutnya, peminat novel thriller dan seram boleh menikmati potongan harga sebanyak 25 hingga 30 peratus dan untuk lebih jimat mereka, digalakkan daftar sebagai ahli VIP Karangkraf.
Pelbagai tawaran menarik menanti pengunjung sepanjang 10 hari Jualan Gudang Awal Tahun Karangkraf berlangsung.
Lebih menarik, sebanyak 200,000 buku latih tubi terbitan Bestari Karangkraf dengan harga serendah 50 sen turut ditawarkan kepada pengunjung.
Terdapat tiga lokasi untuk setiap ruang pameran mengikut jenis bahan bacaan yang disediakan bagi memudahkan pengunjung untuk mencari buku yang diingini iaitu di Studio F, Auditorium dan lobi Karangkraf.