JAKARTA - Malaysia mencadangkan agar 2025 ditetapkan sebagai Tahun Kemahiran ASEAN dan merancang untuk melancarkan beberapa inisiatif dalam sektor buruh sebagai sebahagian daripada peranannya selaku Pengerusi ASEAN akan datang, menurut Sekretariat ASEAN.
Cadangan ini dibincangkan pada Isnin dalam satu pertemuan antara Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Sosio Budaya, Ekkaphab Phanthavong.
Iklan
Iklan
Khairul Dzaimee yang mengetuai delegasi peringkat tinggi termasuk Nurul Jiana Mohd Jamel, kaunselor buruh di Kedutaan Malaysia bertemu dengan Phanthavong di Sekretariat ASEAN di sini.
Laos akan menyerahkan kepimpinan ASEAN kepada Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober 2024, di Vientiane.
Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini terdiri daripada 10 negara anggota iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam.
Timor-Leste masih menunggu untuk menjadi anggota penuh kumpulan itu. - Bernama