SABAK BERNAM - Kira-kira 1,920 hektar tanaman padi di Blok L1 hingga L20 Sungai Leman, Sekinchan yang terlibat dalam skim baja rintis berdepan kelewatan menerima bekalan baja sedangkan pokok padi sudah ditanam secara berperingkat bermula Ogos lalu.
Seorang pesawah, Mohamad Asri Badron, 64, berkata, keadaan itu membimbangkan kira-kira 1,000 pesawah yang terlibat dalam skim baja rintis musim kedua tanaman tahun ini.
Menurut beliau, kawasan itu sebahagian daripada beberapa kawasan di seluruh negara yang terpilih bagi pembekalan baja rintis oleh pihak kerajaan.
"Kami menyokong inisiatif kerajaan mengurangkan beban pembelian baja, namun malangnya kerja-kerja menyembur baja melalui dron mengambil masa terlalu lama.
"Biasanya anak pokok berusia empat hingga 10 hari sudah ditabur baja kali pertama, tetapi sehingga kini ramai pesawah merungut kawasan tanaman mereka belum ditabur baja," katanya ketika ditemui pada Selasa.
Mohamad Asri memberitahu, sehingga kini beliau difahamkan terdapat 600 hektar tanaman padi di kawasan itu masih belum disembur dengan baja kali pertama.
"Masalah ini sepatutnya tidak timbul kerana kerajaan telah melantik syarikat bagi menguruskan projek rintis tersebut," jelas beliau.
Seorang lagi pesawah, Sulbani Abd Karim, 59, berkata, kelewatan bekalan baja itu menyebabkan tumbesaran pokok padi terbantut.
Jelasnya, kerja-kerja pembajaan sekiranya tidak mengikut tarikh penanaman sebenar juga dikhuatiri menjejaskan buah padi sekali gus mengurangkan hasil pengeluaran musim ini.
"Pokok padi sepatutnya menerima empat kali baja dalam semusim, tetapi untuk jadual pembajaan kali pertama pun sudah terlalu lewat.
"Kita bimbang, apabila lewat hanya rumput sahaja tumbuh memenuhi kawasan sawah," ujarnya.
Murshidul Hafid Ahmad, 50, berkata, pada masa ini, pesawah pula terpaksa mendapatkan baja di pusat operasi dan stor yang dikendalikan pihak syarikat bertanggungjawab.
Jelasnya, sebelum ini, mana-mana pesawah yang lewat menerima semburan baja di kawasan bendang boleh mendapatkan baja secara terus di stor terbabit.
"Kami terpaksa menabur baja sendiri dan dibayar RM50 setiap lot sawah oleh pihak syarikat apabila semburan baja menggunakan dron lewat, namun ketika ini terpaksa menunggu untuk menabur baja kali kedua selepas usia pokok padi melebihi 20 hari.
"Jika hendak tunggu satu pusingan baja selesai, mungkin makan masa lama untuk kerja pembajaan kali kedua," ujarnya.
Menurut Murshidul Hafid, sebelum pelaksanaan skim baja rintis, pesawah mengeluarkan modal bagi membeli baja dan menabur sendiri di kawasan tanaman masing-masing.
"Saya menyokong inisiatif mengurangkan beban pesawah, tetapi dalam masa sama sekiranya isu baja ini tidak ditangani, kami bimbang hasil pengeluaran kami terjejas," tambahnya.