Kegiatan 'swinger': Kertas siasatan 34 individu dirujuk Timbalan Pendakwa Raya

Iklan
Laporan Sinar Harian.

KUALA LUMPUR - Polis melengkapkan kertas siasatan berkaitan 34 individu yang ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti persundalan seks bebas dengan bertukar pasangan atau 'swinger' yang dipromosi secara dalam talian.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kertas siasatan itu telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada Khamis.

Iklan
Iklan

"Kita sedang menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Mohd Rusdi berkata, polis telah menahan 18 lelaki dan 16 wanita yang disyaki terlibat aktiviti persundalan seks bebas dengan bertukar pasangan atau 'swinger'.

Iklan

"Dua lelaki yang disyaki ketua kumpulan itu masih ditahan bagi membantu siasatan," ujarnya.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan sindiket yang mempromosi kegiatan tidak bermoral itu.

Iklan

"Kita turut menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menutup laman web dan aplikasi yang melanggar undang-undang," katanya.

Pada Jumaat, media melaporkan kesemua mereka ditahan dalam serbuan berasingan di sebuah kondominium di Mont Kiara, Sentul di sini oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 25 Ogos lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus dilaporkan berkata, serbuan dilakukan susulan risikan sejak Jun lalu.

Polis menahan 34 individu terdiri warga tempatan termasuk lima warga asing dari Perancis, China, Nigeria, Republik Czech dan Filipina.