GEORGE TOWN - Banjir kilat berlaku di beberapa kawasan di sekitar Bayan Lepas dan Bayan Baru di sini, selepas hujan lebat hampir dua jam, sejak jam 6 pagi pada Selasa.
Antara kawasan yang dilaporkan terjejas di Jalan Mayang Pasir, Jalan Mahsuri, Jalan Tun Dr Awang, Kampung Jawa, Lintang Nibong dan Jalan Batu Maung.
Difahamkan banjir kilat turut dilaporkan berlaku di sekitar kawasan Relau dan Sungai Ara hingga menyebabkan beberapa kenderaan terkandas dan kesesakan trafik.
Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, sehingga kini kerajaan Pulau Pinang gagal menangani masalah banjir kilat apabila kejadian berkenaan berulang kembali pada pagi Selasa.
Menurutnya, banyak aduan daripada orang ramai diterima berhubung keadaan banjir yang serius di sekitar Daerah Barat Daya termasuk di kawasan sekitar Jalan Mahsuri, Sungai Ara dan Relau.
"Yang mengecewakan rakyat adalah kerajaan negeri pernah mengumumkan beberapa rancangan tebatan banjir yang menelan kos yang tinggi di kawasan barat daya Pulau Pinang tetapi masalah (banjir) masih kekal.
"Kini rakyat bertanya, ke manakah peruntukan kerajaan itu digunakan? Mengapa rancangan tebatan banjir yang dikatakan itu tidak berkesan dan adakah pihak berkuasa akan menilai semula sistem pemilihan kontraktor untuk projek tebatan banjir kelak?" katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tong Keong berkata, pada 2016 ketika Ketua Menteri Chow Kon Yeow masih seorang ahli Exco, beliau mengumumkan tiga projek tebatan banjir, masing-masing di Teluk Kumbar, Bayan Lepas dan sepanjang Jalan Tun Dr Awang hingga sungai di kawasan Relau dan Bayan Baru yang menelan kos sebanyak RM3 juta, RM3.175 juta dan RM1.3 juta.
Jelasnya, satu lagi projek yang diumumkan adalah penambahbaikan Sungai Balik Pulau dengan kos RM2.2 juta, jumlah keseluruhan projek-projek itu adalah hampir RM10 juta.
Tambah beliau, kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit di Daerah Barat Daya untuk projek tebatan banjir, namun sehingga kini projek-projek itu gagal menangani banjir di kawasan tersebut.
"Sejak 2008 Pakatan Harapan (PH) telah memerintah Pulau Pinang namun mereka gagal mengatasi masalah banjir.
"Apakah yang sebenarnya berlaku? Rakyat Pulau Pinang tidak dapat menerima keadaan ini yang setiap kali hujan lebat, banjir tetap akan berlaku,” katanya lagi.
Beliau berkata, ini bukan hanya menunjukkan kegagalan kerajaan Pulau Pinang menangani isu banjir, malah juga menggambarkan kerajaan negeri terdapat kelemahan dalam kerja pengurusan dan pemantauan projek awam.
Beliau mempersoalkan, adakah kerajaan Pulau Pinang menjalankan kerja pemeriksaan berkala berhubung dengan kemajuan dan keberkesanan projek tebatan banjir dan adakah pihak kerajaan negeri telus menggunakan dana untuk rancangan tebatan banjir?
"Ini adalah perkara yang rakyat ingin tahu.
"Kerajaan PH Pulau Pinang sering berjanji bahawa mereka akan memperbaiki masalah banjir di negeri ini semasa kempen pilihan raya, tetapi ternyata janji-janji mereka itu hanya janji kosong dan slogan sekadar untuk meraih undi tetapi tidak akan dilaksanakan dengan serius," ujarnya lagi.