'Kami bermain untuk penyokong'

Iklan
Syamer Kutty Abba. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

SKUAD Harimau Malaya akan tampil dengan persembahan terbaik untuk kembali menambat hati penyokong pada aksi Pestabola Merdeka menentang Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu.

Pemain tengah Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba berkata, tindakan sesetengah penyokong yang mahu memboikot sememangnya memberikan impak namun percaya mampu memenangi hati mereka semula dengan kemenangan dalam perlawanan pertama menentang skuad The Azkals.

Iklan
Iklan

"Saya fikir perkara paling istimewa buat Malaysia ialah penyokong dan perkara paling istimewa di Bukit Jalil ialah penyokong yang memenuhi stadium.

"Seperti saya katakan, perkara ini (boikot) kita tidak boleh kawal. Apa yang kita boleh kawal adalah bagi persembahan terbaik dan kemudian penyokong boleh datang seperti sebelum ini dan bersatu kembali.

Iklan

"Ia satu perkara menyedihkan sebab saya datang ke sini dan semangat saya adalah penyokong, tetapi apabila ini berlaku ia akan beri impak kepada pasukan. Tetapi kami tetap akan beri yang terbaik," katanya dalam sidang akhbar praperlawanan pada Selasa.

Penganjuran Pestabola Merdeka kali ini mungkin berlangsung hambar selepas wujud gerakan untuk memboikot kejohanan tersebut oleh Ultras Malaya dan beberapa Ultras negeri.

Iklan

Ia susulan beberapa masalah yang timbul seperti isu peletakan jawatan bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon serta beberapa perkara berkaitan Liga Malaysia (Liga-M) yang menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong.