Enam beradik jadi anak yatim sekelip mata

Iklan
Enam beradik dari Kampung Chuchuh Puteri tidak pernah menyangka gulai lemak pucuk paku serta ayam madu goreng menjadi masakan terakhir ibu mereka yang maut dalam kemalangan di kilometer 76, Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Masjid Pahi, Kuala Krai pada Isnin.

KUALA KRAI - Enam beradik dari Kampung Chuchuh Puteri di sini tidak pernah menyangka gulai lemak pucuk paku serta ayam madu goreng menjadi masakan terakhir ibu mereka yang maut dalam kemalangan di kilometer 76, Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Masjid Pahi di sini pada Isnin.

Anak sulung, Muhamad Riduan Mohd Yusoff, 25, berkata, hal ini kerana sudah lama ibunya, Zaiton Haron, 49, tidak memasak masakan yang enak tersebut kerana kebiasaannya hanya nasi putih dan telur goreng sahaja.

Iklan
Iklan

"Sehari sebelum kejadian ibu ada pulang ke rumah pada sekitar jam 11 pagi hingga 6 petang. Sepanjang tempoh itu ibu tidak duduk diam, dia memasak, kemas rumah, jemur tilam, cuci pakaian dan sebagainya.

"Kebiasaannya apabila ibu pulang melawat kami di rumah, dia banyak berehat serta hanya masak nasi serta telur sahaja. Inilah kali pertama dia beria masak dan tidak sangka ia merupakan kali terakhir kami dapat merasa air tangannya," katanya sebak ketika ditemui pemberita di rumah di Kampung Chuchuh Puteri di sini pada Selasa.

Iklan
Dua beradik berusia 8 dan 12 tahun menunjukkan gambar ibu mereka.

Muhamad Riduan merupakan 'penjaga' kepada lima adiknya yang berusia 8 hingga 20 tahun apabila kedua ibu bapa mereka berpisah Januari lalu dan arwah Zaiton terpaksa meninggalkan anak-anak untuk bekerja sebagai pembantu kantin di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pahi.

Ibu tunggal tersebut menumpang di rumah ibu saudaranya, Noriha Che Ali, 49, di Kampung Pahi yang juga maut dalam kemalangan tersebut ketika motosikal dinaiki mereka berdua dirempuh oleh sebuah kereta ketika pulang dari kerja.

Iklan

Menurut Muhamad Riduan, sehingga sekarang dia dan adik-adiknya masih terkejut dan tidak percaya ibu mereka telah tiada.

Ujarnya, mereka mengetahui tentang kemalangan itu pada jam 3.30 petang selepas dimaklumkan oleh penduduk kampung kemudian dibawa oleh saudara mara ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk melihat ibu.

Dia memberitahu, ibunya telah meninggal dunia di lokasi kejadian dan ketika itu hanya ALLAH yang tahu bagaimana perasaan mereka.

"Ayat terakhir ibu pada Ahad lalu sebelum menaiki motosikal pulang ke Pahi, dia berpesan kepada saya untuk menjaga adik-adik. Jika mereka lapar, tolong masak, jaga adik-adik.

"Rupanya ini pesanan terakhir ibu. Saya mengambil tugas menjaga adik-adik sejak Ramadan lalu iaitu bulan Mac," katanya yang sanggup berhenti kerja sebagai pembantu kedai di Kuala Lumpur dan pulang ke kampung untuk menjaga tiga adiknya yang masih bersekolah.

Menurut dia, jenazah ibunya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Chuchuh Puteri pada jam 10. 30 pagi.

Sinar Harian Online melaporkan dua sahabat maut dipercayai apabila motosikal dinaiki dirempuh oleh sebuah kereta ketika pulang dari kerja di kilometer 76, Jalan Kota Bharu - Gua Musang berhampiran Masjid Pahi di sini pada Isnin.

Sinar Harian Online melaporkan dua sahabat maut dipercayai apabila motosikal dinaiki dirempuh oleh sebuah kereta ketika pulang dari kerja di kilometer 76, Jalan Kota Bharu - Gua Musang berhampiran Masjid Pahi di Kuala Krai pada Isnin.

Kedua-dua wanita yang berusia 48 dan 49 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada jam 4 petang.