'Mangsa scammer dakwa mereka seperti dipukau'

Iklan
Zaldino ketika menjadi ahli panel Pad Program Townhall Discussion Cybercrime Threat' Peringkat Negeri Sembilan.

SEREMBAN - Kebanyakan mangsa penipuan atau scammer merasakan mereka bagai dipukau sehingga terjerat dengan helah sindiket berkenaan.

SAC Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zaldino Zaludin berkata, mangsa bukannya dipukau sebaliknya ia adalah mainan psikologi scammer.

Iklan
Iklan

"Ramai kata mereka seperti dipukau, tapi sebenarnya bukan. Tiada mantera, jampi atau kemayan digunakan.

"Sindiket sebenarnya telah mengambil alih pemikiran mereka yang menyebabkan mangsa mula cemas dan terus percaya serta ikut apa yang diperkatakan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada pada Program Townhall Discussion 'Cybercrime Threat' Peringkat Kontinjen Negeri Sembilan 2024 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini pada Selasa.

Menurut beliau, sindiket biasanya akan menggunakan intonasi suara yang meyakinkan, seolah-olah daripada agensi berkaitan.

Iklan

Katanya, ia bagi memberi lebih keyakinan kepada mangsa untuk terus melayan perbualan tersebut sehingga terjerat.

"Scammer ini akan membaca skrip disediakan dengan guna suara yang tegas dan kemas.

"Jika fikir secara logik, tiada agensi kerajaan akan berhubung melalui panggilan telefon untuk buat pemindahan akaun dan tiada mahkamah akan hubungi mangsa begitu sahaja nyatakan kesalahan dilakukan," katanya.

Sementara itu, Zaldino berkata, dalam tempoh Januari hingga Ogos lalu, seramai 12,722 tangkapan individu membabitkan kes jenayah siber direkodkan.

Tambahnya, berdasarkan statistik bagi tahun lalu seramai 18,393 jumlah tangkapan manakala tahun sebelumnya 16,244 tangkapan.

"Bagi jumlah keseluruhan kes pula, sebanyak 25,447 kes jenayah siber direkodkan pada tahun 2022 manakala bagi tahun 2023 pula sebanyak 34,493 kes.

"Dalam tempoh Januari sehingga Julai tahun ini sebanyak 18,662 kes direkodkan dan kes tertinggi ialah jenayah telekomunikasi iaitu 7,664," katanya.