Pencemaran bau: Sampel air Sungai Pandan dikesan ada bahan kimia

Iklan
Tian Soon (tengah) meninjau keadaan Sungai Pandan susulan pencemaran bau kimia yang berlaku.

JOHOR BAHRU - Sampel air dan tanah Sungai Pandan yang terletak di Kampung Melayu Pandan sudah diambil bagi mengenal pasti punca pencemaran bau kimia yang berlaku di bandar raya ini sejak tengah malam.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata, sampel berkenaan diambil Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri bagi tujuan analisis awal.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, analisis pada peringkat awal mendapati terdapat kandungan bahan kimia yang belum dapat dikenal pasti berdasarkan keputusan sampel tersebut.

"Sampel kedua akan diambil bagi mengetahui kandungan dan jenis kimia.

Iklan
Anggota bomba menunjukkan sampel air yang diambil dari Sungai Pandan.

"Menerusi siasatan awal, pihak bomba mendapati di sini (Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan) merupakan tempat disyaki pencemaran berlaku berdasarkan bau yang lebih kuat.

"Oleh itu, sampel air dan tanah diambil bagi analisis peringkat awal yang menunjukkan bacaan pH normal, tetapi terdapat satu kandungan bahan kimia yang belum dapat dikenal pasti," katanya ketika melakukan tinjauan pada Selasa.

Iklan

Menurut Tian Soon, pasukan Hazmat Melaka akan membantu siasatan bagi mengenal pasti punca pencemaran lebih lanjut.

Tambahnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor juga sedang mengesan dan mendapatkan bacaan pencemaran di kawasan terlibat.

Tian Soon (tengah) meninjau keadaan Sungai Pandan susulan pencemaran bau kimia yang berlaku.

"JAS juga akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kilang-kilang berdekatan sungai tersebut setelah keputusan sampel kedua diketahui," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pencemaran bau berkenaan turut membabitkan Taman Daya, Taman Mount Austin dan Taman Istimewa.

Bagaimanapun menurutnya, setakat ini kejadian pencemaran tersebut tidak melibatkan sebarang mangsa.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, tadika dan sebuah sekolah agama di Kampung Melayu Pandan ditutup sementara.

"Penduduk juga dinasihatkan memakai pelitup muka dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami sebarang gejala," katanya.