Draf MoU peruntukan pembangkang: Amaun tidak dinyata kerana terma belum dipersetujui

Iklan
Fadillah semasa sidang media pada majlis Malaysian Law Students Legal Aid Convention 2024 di sini, pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan tidak menyatakan amaun peruntukan dalam draf memorandum persefahaman (MoU) membabitkan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang adalah disebabkan terma dalam perjanjian itu masih belum dipersetujui oleh blok berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sekiranya pembangkang tidak bersetuju dengan mana-mana terma dalam MoU itu, mereka seharusnya menyatakannya melalui saluran betul iaitu perundingan, bukannya melalui media.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sehingga kini kerajaan juga masih belum menerima maklum balas daripada pembangkang berkaitan draf MoU itu.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Sekretariat Kerajaan Perpaduan berkata demikian selepas menghadiri majlis Malaysian Law Students Legal Aid Convention 2024 di sini, pada Selasa.

Iklan

Semalam Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilapor berkata, kerajaan menetapkan tujuh syarat kepada pembangkang, termasuk sokongan kepada kerajaan sehingga akhir penggal Parlimen ke-15, bagi membolehkan mereka menerima peruntukan.

Takiyuddin turut mendakwa tiada amaun peruntukan yang diletakkan dalam draf MoU tersebut.

Iklan

Fadillah berkata, syarat ditetapkan mengenai sokongan kepada kerajaan itu bertujuan memastikan kestabilan politik dalam negara dapat dicapai, sekali gus menghantar mesej kepada dunia dalam menarik lebih ramai pelabur.

"...yang kita nyatakan ialah kita nak supaya tak ada lagi kita nak bercakap pasal nak jatuhkan kerajaan dan sebagainya. Sebab apa lebih utama untuk negara kita sekarang ialah kestabilan.

"Jadi janganlah kita bercakap tentang nak menjatuhkan kerajaan apa semua, berhentikan... sebab kerajaan sekarang ini dah dapat sokongan dah ada dua pertiga sokongan dan dibuktikan di Parlimen,” katanya.

Pada 9 Julai lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan isu agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak seharusnya menjadi isu rumit untuk diselesaikan. - Bernama