PUTRAJAYA - Draf memorandum persefahaman (MoU) membabitkan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang sewajarnya dibincangkan dengan tertib dan bukannya dibawa kepada pihak media, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) berkata, sewaktu menjadi pembangkang, pihaknya mengadakan perbincangan secara baik dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Ahli Parlimen Bera) dan tidak membawa isu berkenaan kepada media.
"Waktu saya pembangkang dahulu, waktu itu kami bincang dengan Bera (Ahli Parlimen). Kami tidak bincang perkara ini dengan media. Jadi kalau mereka ikut langkah kami dahulu, bincang dengan baik, dengan tertib, tidak menjadi masalah.
"Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof sudah menyatakan bahawa ini adalah draf, datanglah berjumpa, sampaikanlah pandangan dan kita boleh berbincang,” katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Beliau berkata, pembangkang sewajarnya mencontohi apa yang dilaksanakan pihaknya dahulu sehingga membolehkan peruntukkan disalurkan.
"Kami uruskan dengan cukup tertib, cukup baik, tersusun dan akhirnya kestabilan dapat dicapai dan peruntukan diperoleh malah lebih penting daripada itu, sejumlah reformasi yang kami harapkan, berjaya kami laksanakan.
"Jadi saya gesa Ketua Whip Perikatan Nasional Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan rakan pembangkang bertemu segera dengan Fadillah dan berbincang dengan tertib, itulah forumnya, bukan dalam sidang media seperti yang dilakukan, itu tidak tertib namanya,” katanya.
Semalam Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilapor berkata kerajaan menetapkan tujuh syarat kepada pembangkang termasuk sokongan kepada kerajaan sehingga akhir penggal Parlimen ke-15, bagi membolehkan mereka menerima peruntukan.
Takiyuddin turut mendakwa tiada amaun peruntukan yang diletakkan dalam draf MoU tersebut. - Bernama