Tiket 'Khabib Nurmagomedov LIVE in Malaysia' laku keras

Iklan
Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (kiri), Khairul Amar (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Faith Events, Munira Mustafa (kanan) bergambar selepas selesai sidang media Khabib Nurmagomedov LIVE In Malaysia 2024 yang diadakan pada Selasa. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB

KUNJUNGAN sulung legenda seni mempertahankan diri (MMA), Khabib Nurmagomedov ke negara ini ternyata membawa aura tersendiri apabila tiket ke acara yang menampilkan jaguh dari Dagestan, Rusia itu laku bagaikan 'pisang goreng panas'.

Khabib bakal menemui peminat dalam acara 'Khabib Nurmagomedov LIVE in Malaysia' di ibu negara pada 29 September ini.

Iklan
Iklan

Kunjungan bekas juara lightweight UFC itu sempena Siri Pendidikan Islam, Faith Events 2024.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Faith Events, Munira Mustafa memaklumkan tiket ke acara itu hampir habis terjual, namun menegaskan peminat masih berpeluang mendapatkannya menerusi pembelian dalam talian di laman sesawang www.khabibmalaysia.com.

Iklan

"Alhamdulillah lebih separuh tiket sudah habis terjual.

"Hanya seksyen tempat duduk 'Undisputed' dan 'Send me location' masih berbaki untuk menjadi rebutan peminat," katanya pada sidang media 'Khabib Nurmagomedov LIVE in Malaysia' di ibu negara pada Selasa.

Iklan

Difahamkan, hanya terdapat 3,000 tempat duduk untuk acara tersebut.

Kemasukan ke acara itu adalah melalui pembelian tiket bermula serendah RM159 (Dagestan, aras 6), RM259 (Undisputed, aras 5), RM399 (Send me location, aras 4 tengah/belakang), RM499 (The Eagle, aras 4 depan), RM1,699 (The Champion, aras depan dan temu mesra) dan RM1,699 bagi tempat duduk royal box dan temu mesra.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Faith Events, Khairul Amar Razali berkata, tujuan acara itu diadakan untuk memberi inspirasi kepada orang ramai di Malaysia mengenai apa yang diperlukan untuk menjadi sang juara sambil mengenai Khabib secara dekat dan peribadi.

"Khabib memiliki nilai kemanusiaan yang universal. Dia mempunyai moral kompas yang tinggi dan pegangan agama yang kuat.

"Dia boleh dijadikan contoh bukan sahaja kepada masyarakat Islam tetapi juga bukan Islam.

"Kehadiran pertama kali Khabib ke negara ini juga sekali gus dapat mempromosikan Malaysia kerana peminat Khabib ada di serata dunia," katanya.

Difahamkan, acara eksklusif di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 29 September itu nanti dihoskan Alif Satar dengan menampilkan Johan Ghazali (Jojo) sebagai tetamu khas.