Lebih 12,000 peserta dijangka memeriahkan program 'Keretapi Serong 2024'

Iklan
Pengasas Bersama LOCCO dan Pengarah Program Keretapi Sarong 2024, Shamsul Bahrin Zainuzzaman ketika sidang media meraikan tema baru “Bangga Malaysia” serta menampilkan Kekuatan Jenama Tempatan dan Perpaduan Budaya di TGV Pavillion Bukit Jalil, pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Lebih 12,000 peserta dijangka memeriahkan program Keretapi Sarong 2024 (KS2024) pada 14 September ini bagi menyemarakkan sambutan Hari Malaysia.

Pengarah program KS2024, Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata, program mengangkat tema 'Bangga Malaysia' bagi menghargai jenama tempatan, sekali gus mengiktiraf peranan mereka dalam membentuk identiti Malaysia di samping mempamerkan potensi komersial budaya di peringkat nasional dan antarabangsa.

Iklan
Iklan

"Tema ini merupakan kenyataan yang kukuh tentang kebanggaan negara kita terhadap jenama tempatan yang membentuk identiti.

"Melalui KS2024, kita bukan sahaja meraikan penyatuan, tetapi juga mempamerkan kreativiti dan ketahanan jenama Malaysia, menjadikan mereka simbol perpaduan dan warisan budaya,” katanya dalam sidang media program berkenaan, di sini pada Selasa.

Iklan
Pengasas Bersama LOCCO dan Pengarah Program Keretapi Sarong 2024, Shamsul Bahrin Zainuzzaman bersama tenaga kerja selepas sidang media mempromosikan tema baru"Bangga Malaysia” Tampil Kekuatan Jenama Tempatan dan Perpaduan Budaya di TGV Pavillion Bukit Jalil, pada Selasa. Foto Bernama

Shamsul Bahrin yang juga pengasas bersama LOCCO berkata, bagi menambahkan lagi kemeriahan KS2024, pihaknya menampilkan ratu irama Malaysia Noraniza Idris selari dengan suasana acara yang meraikan warisan dan budaya Malaysia.

"Beliau akan membawa sentuhan budaya yang autentik ke sambutan ini, memperkukuh hubungan acara ini dengan warisan Malaysia,” katanya.

Iklan

Menjelaskan lebih lanjut acara KS2024 yang sudah memasuki tahun kelapan penganjurannya, beliau berkata, flash mob atau persembahan kilat, antara yang dinanti-nantikan peserta dan akan diteruskan tahun ini, melibatkan sembilan stesen tren RapidKL dan Express Rail Link (ERL).

Katanya, persembahan yang akan dilakukan secara serentak di kesemua stesen terbabit akan diketuai oleh kumpulan sukarelawan di setiap lokasi, menuju destinasi akhir yang dirahsiakan.

Stesen yang terbabit dalam KS2024 ialah Transit Aliran Ringan (LRT) Subang Jaya, LRT Gombak, Putrajaya Sentral, KL Sentral, Transit Aliran Massa (MRT) Kajang, LRT Ampang, MRT TTDI, MRT UPM dan MRT Damansara Sentral.

Masih mengekalkan Kuala Lumpur sebagai destinasi akhir, Shamsul Bahrin berkata walaupun terdapat beberapa insiden yang berlaku di ibu kota baru-baru ini, pihaknya telah menjalankan kajian bagi memastikan lokasi yang dipilih merupakan kawasan selamat.

"...sudah pasti kawasan (peserta) berkumpul terletak jauh dari tempat yang terlibat dengan bencana baru-baru ini,” katanya.

Selain acara utama di Lembah Klang, flash mob serentak juga akan berlangsung di lokasi terpilih, iaitu di Johor Bahru, Kota Bharu, Ipoh, Bukit Mertajam, Alor Setar serta dua lokasi luar negara, iaitu Paris di Perancis dan Berlin, Jerman.

Program Keretapi Sarong yang dimulakan oleh pertubuhan bukan kerajaan Random Alphabet pada 2012 sebelum diambil alih oleh LOCCO pada 2017 melibatkan ribuan peserta menaiki pengangkutan awam dengan memakai kain sarung, sama ada batik atau pelekat. - Bernama