Bincang draf MoU peruntukan pembangkang minggu depan

Iklan
Takiyuddin

KOTA BHARU - Semua Ahli Parlimen pembangkang akan mengadakan satu perbincangan minggu depan mengenai draf memorandum persefahaman (MoU) yang diterima daripada Kerajaan Perpaduan.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, antara isu penting dalam pertemuan yang dijangka berlangsung pada 9 September itu ialah syarat draf memorandum persefahaman (MoU) yang dikemukakan Kerajaan Perpaduan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun Takiyuddin memberitahu, tidak dapat memaklumkan secara terperinci butiran syarat melalui draf yang diterima pada 6 Ogos lalu berikutan berstatus 'Rahsia'.

"Apa yang saya boleh bayangkan draf berkenaan terdapat banyak unsur mengenakan syarat tertentu sebelum kerajaan membuat keputusan untuk meluluskan peruntukan," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di sini pada Selasa.

Iklan

Menurut beliau, keputusan mungkin akan dibuat selepas perbincangan berkenaan yang akan diadakan di Kuala Lumpur.

"Kita akan mendapatkan semua pendapat Ahli Parlimen PN sebelum membuat keputusan dan ada wakil yang akan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof," katanya.

Iklan

Takiyuddin mendakwa, sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan tiada sebarang syarat dikenakan tetapi hanya membabitkan perbincangan.

"Saya boleh katakan kesemua syarat yang digariskan itu dinamakan 'tujuh prinsip kehidupan awam' dan MoU boleh terbatal jika kita melanggar syarat yang digariskan," katanya.

Media pada Isnin melaporkan Takiyuddin memaklumkan tujuh syarat disenaraikan melalui draf MoU Mengenai Peruntukan Pembangkang yang perlu dipenuhi ahli Parlimen bagi membolehkan mereka diberi peruntukan.

Antara syarat terbabit ialah pengisytiharan harta, sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal Parlimen Ke-15 serta perkara berkaitan bangsa, agama dan Raja-Raja (3R).