'Belajar terima kenyataan, bukan desak Ahmad Zahid cuti'

Iklan
Mohd Nizar

IPOH - Pembangkang seharusnya belajar menerima kenyataan bahawa mereka bukan lagi kerajaan berbanding mendesak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya bercuti daripada menjalankan tugas bagi mendapatkan perhatian.

Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, desakan supaya Ahmad Zahid bercuti kononnya bagi memberi laluan siasatan hanyalah gimik politik pembangkang yang masih belum boleh menerima hakikat kegagalan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan
Iklan

Menurutnya, jika alasan tersebut digunakan untuk seseorang pemimpin itu dicutikan dari tugasnya, maka beberapa pemimpin pembangkang juga harus melakukan perkara sama kerana mereka juga sedang berdepan perbicaraan di mahkamah.

"Pada saya sekarang ini sudah hampir tiga tahun (kerajaan dibentuk) sepatutnya kita pastikan negara kita stabil, kita hendak kerajaan perpaduan ini kuat, kukuh untuk kita bina. Nak berpolitik tunggulah PRU16 nanti, gasaklah apa benda pun tapi janganlah tempoh ini.

Iklan

"Sudahlah... Redalah apa yang berlaku. Kita pun boleh berhujah, PN (Perikatan Nasional) dulu mereka dapat banyak kerusi, yang kamu tak nak jadi kerajaan kenapa? Sudah menang banyak tak nak jadi kerajaan lepas itu menyalahkan orang," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Sidang Media Teater Muzikal Cicit Wan Lebor di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak, di sini pada Selasa.

Iklan

Mohd Nizar berkata, pembangkang sepatutnya reda dengan ketentuan ALLAH apabila Barisan Nasional (BN) kembali menjadi kerajaan biarpun dengan memenangi hanya 30 kerusi Parlimen pada PRU15 lalu.

"Ingat, ALLAH sebut dalam al-Quran bermaksud, manusia merancang, ALLAH juga merancang tetapi ALLAH juga sebaik-baik perancang. Sepatutnya redalah, pilihan raya dah tamat dah.

"Saya kalah (dalam PRU15), saya reda. Saya terus bekerja, berkhidmat dan berbakti. Saya harap sudahlah berpolemik yang merugikan negara serta merosakkan perpaduan di negara ini," katanya.

Pada Isnin, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berpandangan Ahmad Zahid perlu diberikan cuti bagi memberi laluan kepada siasatan bebas terhadap dirinya sehingga selesai.

Beliau yang mengalu-alukan sikap terbuka Ahmad Zahid untuk disiasat berhubung dakwaan terdapat unsur memperdaya Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika mengemukakan Akuan Berkanun (SD) bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan bagaimanapun merasakan tidak mungkin seseorang dapat disiasat sepenuhnya ketika masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.