Polis nafi dakwaan bangunan sementara IPD tidak selamat

Iklan
Bangunan sementara IPD Melaka Tengah di Jalan Batu Berendam yang tular tidak selamat.

MELAKA - Polis Melaka menyangkal dakwaan sebuah video tular berhubung situasi bangunan baharu sementara Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah di Jalan Batu Berendam tidak selamat.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, bangunan sementara itu telah disahkan selamat untuk diduduki selain mendapat Sijil Kesempurnaan Menduduki (CF) yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sejak tahun 2003.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehingga kini hampir 96 peratus kerja-kerja baik pulih di bangunan lapan tingkat itu telah disiapkan oleh kontraktor yang dilantik oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka yang dijangka siap pada 19 September ini.

"Video tular di media sosial baru-baru ini berkaitan perpindahan IPD Melaka Tengah ke bangunan sementara telah dikenal pasti sebagai fitnah.

Iklan

"Video yang disebarkan melalui aplikasi TikTok dan Telegram telah menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat, namun menegaskan dakwaan dalam video tersebut adalah tidak berasas," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut beliau berkata, pemindahan ke bangunan itu memandangkan struktur bangunan lama telah uzur dan memerlukan kos pembaikan yang sangat tinggi malah tidak lagi selamat untuk digunakan.

Iklan

Menurutnya, bangunan lama IPD Melaka Tengah berusia 100 tahun mula digunakan pada tahun 1924 sebagai pejabat pentadbiran kerajaan British sebelum diserahkan kepada polis pada tahun 1948.

Ujarnya, hasil daripada lawatan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusof ke bangunan tersebut telah bersetuju untuk memindahkan operasi IPD Melaka Tengah ke bangunan sementara itu demi menjaga kebajikan dan tanda prihatin terhadap warga PDRM di IDP itu.

Malah katanya, cadangan untuk membina kompleks IPD yang baru tetap diteruskan dan dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan Ke-5.

"Sehubungan dengan penularan fitnah ini, satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Orang ramai diingatkan untuk sentiasa merujuk kepada sumber-sumber yang sahih sebelum mempercayai atau menyebarkan sebarang maklumat," katanya lagi.

Terdahulu tular dakwaan kononnya daripada warga IPD Melaka Tengah, Banda Hilir dihalau dari bangunan itu dan dipindahkan ke bangunan baharu itu yang tiada CF serta tidak dilengkapi kemudahan lain.