JDT lancar jersi baharu musim 2020

Iklan
Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim (tengah) berkenan bergambar bersama Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal (dua dari kiri) dan Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar (kiri) serta Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani (dua dari kanan) dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Ismail Karim (kanan) pada Majlis Pelancaran Jersi 2020 Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT) malam ini. - Foto Bernama

KELAB Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) melancarkan jersi baharu bagi musim 2020 di Dataran Bandaraya di sini malam ini.

Jersi baharu JDT musim ini didatangkan dengan dua rekaan iaitu jersi merah biru untuk tuan rumah dan jersi di tempat lawan berwarna putih.

Iklan
Iklan

Ketiadaan nama penaja pada bahagian hadapan jersi kali ini adalah sinonim dengan misi untuk menjadi kelab bernilai RM1 bilion.

Pelancaran jersi baharu tersebut disempurnakan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim dan turut dimeriahkan hampir 5,000 peminat kelab berkenaan.

Iklan

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Sukan Nike Malaysia dan Thailand, Ernest Rodrigues berkata, pihaknya berbesar hati untuk meneruskan tajaan jersi JDT sehingga tahun 2023.

Iklan

Beliau berkata, jersi tuan rumah bagi musim kali ini diinspirasikan daripada bendera Johor iaitu sama seperti musim sebelum ini.

"Jersi kedua untuk pelawat berwarna putih yang melambangkan stadium baharu iaitu Stadium Sultan Ibrahim di Gelang Patah.

"Lilitan berwarna emas di bahagian lengan dan leher pula membawa simbolik kejayaan kelab JDT,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran jersi berkenaan di sini hari ini.

Jersi baharu berkenaan akan digunakan JDT pada saingan Liga Super, Johor Darul Ta'zim II yang beraksi di Liga Perdana, Johor Darul Ta'zim III bagi saingan Piala Presiden dan Johor Darul Ta'zim IV yang beraksi dalam saingan Piala Belia.

Penyokong boleh mendapatkan kedua-dua jersi itu yang dijual di seluruh daerah dengan harga RM185 sehelai. - Bernama