Anwar optimis lawatan Sikorski perkukuh kerjasama Malaysia-Poland

Iklan
Anwar menerima kunjungan hormat Menteri Luar Poland, Radosław Sikorski yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia ketika ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya dan optimis bahawa lawatan rasmi Menteri Luar Poland, Radoslaw Sikorski ke Malaysia, akan menyumbang secara signifikan kepada pengukuhan kerjasama antara kedua-dua negara.

Menerusi hantaran di Facebook pada Selasa, Anwar memaklumkan beliau telah menerima kunjungan hormat Sikorski yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke negara ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, perbincangan mereka menyentuh usaha mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Poland, terutama membabitkan kerjasama dalam bidang pertahanan, ekonomi digital, eksport pertanian dan sektor minyak sawit.

"Selain itu, kami turut menyentuh mengenai kerjasama ASEAN-EU, dengan mengambil kira peranan Poland sebagai presiden Majlis Kesatuan Eropah Poland pada Januari-Jun 2025 dan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun depan.

Iklan

"Pertemuan kira-kira 40 minit itu juga turut membincangkan secara mendalam dan meluas mengenai isu mendesak terkait konflik di Ukraine dan Palestin,” kata Perdana Menteri.

Ini merupakan lawatan pertama Sikorski ke Malaysia sejak pelantikannya pada Disember 2023. Beliau diiringi Timbalan Menteri Pertahanan Pawel Ksawery Zalewski dan Timbalan Menteri Pertanian dan Kemajuan Luar Bandar Michal Kolodziejczak.

Pada 2023, Poland merupakan rakan dagangan kelapan terbesar Malaysia dalam Kesatuan Eropah.

Iklan

Sepanjang Januari hingga Julai 2024, jumlah dagangan dua hala kedua-dua negara meningkat 14.7 peratus kepada RM3.05 bilion (AS$0.65 bilion) berbanding RM2.66 bilion (AS$0.57 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2023. - Bernama