'PH berisiko jadi kerajaan sepenggal atau separuh penggal'

Iklan
Hashim ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Muafakat Nasional Parlimen Jerlun bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Wisma UMNO Jerlun hari ini.

JERLUN - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berisiko menjadi kerajaan sepenggal atau separuh penggal susulan ketidakstabilan politik dalaman dicetuskan rakan gabungannya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini berpecah kepada dua puak.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, konflik itu turut menjejaskan nama baik negara ekoran pihak luar memerhati sesama parti kerajaan bertelagah dan tidak mustahil beri kesan ekonomi jika wujud kebimbangan pelabur.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagaimanapun Pas tidak mencampuri urusan parti lawan sebaliknya menyerahkan kepada rakyat untuk menilai.

"Kita tunggu dan lihat, sepenggal atau separuh penggal. Apa pun Pas tak akan guna pintu belakang, biar diputuskan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-5 (PRU15), siapa menang dia perintah. Kepercayaan pihak luar akan kembali kepada kita apabila kembali kepada sistem demokrasi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Muafakat Nasional Parlimen Jerlun bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Wisma UMNO Jerlun hari ini.

Iklan

Hashim berkata, sudah tentu negara luar turut terkesan melihat percaturan politik PH khususnya PKR yang asyik bertelagah.

"Siapa nak percaya pada kita lagi, ekonomi pun merudum. Sesama menteri pun konflik, itu yang orang luar perhatikan,” katanya.

Iklan

Menurutnya, itulah antara sebab Pas tidak boleh lagi bersama PKR namun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

"Ini penentuan ALLAH SWT, dulu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang rapat. Ketika beliau dipecat, Pas tampil membela dan buat gerakan, sekarang Pas tak boleh terima, tentu ada sebab. Kenapa keadaan bertukar begitu, itu antara Pas-PKR,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yakin Muafakat Nasional kini sudah diterima baik semua peringkat termasuk akar umbi dan mampu menyaingi PH.

"Di negeri yang saya kunjungi, semangatnya tinggi dan diterima baik. Kita tak mahu hanya diterima peringkat nasional atau pemimpin sahaja kerana yang lebih penting adalah akar umbi yang akan tentukan kemenangan PRU15,” katanya.

Menurutnya, gagasan itu juga telah terbukti berkesan apabila menang lima Pilihan Raya Kecil (PRK) terakhir oleh calon Barisan Nasional (BN) dengan sokongan Pas.

"Sebab itu penyatuan UMNO-Pas penting untuk ubah kerajaan yang kini keadaannya sangat kritikal. Kerjasama ini akan untungkan orang Melayu dan Islam, ini bukan lagi soal Pas atau UMNO,” katanya.