SHAH ALAM - Seorang wanita berkongsi berita gembira melahirkan bayi seberat 4.8 kilogram (kg) melalui kaedah caesarean (czer) menerusi laman sosial, TikTok @sueracun99.
Perkongsian itu mengundang bualan ramai apabila ramai yang menyifatkan fizikal bayi berkenaan seolah-olah sudah menginjak usia berada di taman asuhan kanak-kanak (taska).
Wan Nur Jahidah Wan Muim, 26, berkata, dia tidak menyangka perkongsian di media sosial itu mendapat perhatian daripada ramai pihak sehingga jumlah tonton melebih 2.5 juta dalam tempoh sehari.
"Sewaktu kelahiran bayi, ruangan bersalin dan wad menjadi kecoh kerana anak saya ini seberat 4.8kg dan doktor kata ini antara bayi paling besar yang dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun ini.
Tambah ibu kepada empat orang anak itu, doktor memaklumkan kepadanya bahawa bersalin secara normal agak berisiko dan boleh menyebabkan komplikasi sehingga kematian.
Jelas anak kelahiran Kelantan itu, dia pada mulanya mahu bersalin secara normal, namun akur untuk bersalin secara kaedah czer demi keselamatan bayi dan ibu.
Ketika ditanya mengenai ‘rahsia’ bayi seberat 4.8kg, Wan Nur Jahidah berkata, dia tidak mengamalkan sebarang pemakanan seperti bernutrisi tinggi melainkan keinginan minum minuman koko setiap malam.
"Anak keempat ini merupakan kandungan paling mencabar kerana berdepan dengan alahan teruk dan keinginan minum Milo ais setiap malam tanpa gagal sehingga bersalin.
"Saya tidak pasti sama ada minum minuman itu yang menyebabkan anak menjadi sihat sehingga berat hampir mencecah 5kg,” ujarnya.