BAITULMAQDIS - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berdepan tekanan antarabangsa dan domestik yang berganda selepas insiden pembunuhan enam tebusan di Gaza.
Sekutu kuat Netanyahu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pula seperti menempelak rakan sejawatannya yang tidak melakukan tindakan secukupnya untuk membebaskan tebusan tersebut.
Pada Isnin, Britain akan menggantung beberapa eksport senjata ke Israel dengan menyebutnya sebagai 'risiko jelas' bahawa ia digunakan dalam pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Tindakan itu menyebabkan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berkata, beliau 'sangat kecewa' dengan keputusan London itu.
"Hamas akan membayar harga yang sangat tinggi untuk perkara ini," katanya menerusi sidang media yang disiarkan di televisyen sambil menolak untuk membuat rundingan terbaharu dengan Hamas.
Jurucakap sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine Al-Qassam, Abu Ubaida berkata, baki tebusan akan 'kembali dalam keranda' jika Israel mengekalkan tekanan tenteranya di Gaza.
Satu kenyataan berkata, 'arahan terbaharu' telah diberikan kepada kumpulan pejuang yang mengawal tebusan jika tentera Israel mendekati mereka.
Sementera di Washington, Biden yang bertemu dengan perunding AS yang berkhidmat di Qatar dan Mesir untuk cuba mendapatkan perjanjian gencatan senjata bagi membebaskan baki tebusan di Gaza.
Beliau yang ditanya pemberita sama ada Netanyahu melakukan perkara secukupnya membebaskan tebusan, Biden menjawab 'tidak'.
KEMUSNAHAN DAN KEMARAHAN
Pada Isnin, Netanyahu berkata Israel mesti mengekalkan kawalan terhadap Koridor Philadelphi di sempadan Gaza-Mesir.
"Hamas perlu membuat konsesi," kata Netanyahu ketika pengkritiknya berterusan menuduh beliau sengaja melanjutkan tempoh perang untuk terus berkuasa.
Ketika ini, seluruh rakyat Israel dicengkam kesedihan dan kemarahan membuak-buak selepas tentera berkata pada Ahad semua tebusan yang ditangkap semasa serangan Hamas pada 7 Oktober telah ditemui mati di Gaza.
Daripada 251 tebusan yang ditahan, hanya lapan orang berjaya diselamatkan hidup-hidup oleh tentera Israel.
Tunjuk perasaan yang diumumkan kesatuan sekerja, Histadrut untuk mendapatkan perjanjian tebusan telah menyebabkan sebahagian wilayah diduduki Israel menjadi lumpuh.
KEMPEN POLIO GAZA
Gaza yang hampir musnah sehingga memaksa 2.4 juta penduduknya melarikan diri telah menyebabkan mereka terdedah dengan penyakit bawaan air seperti polio.
Selepas kes polio pertama disahkan dalam tempoh 25 tahun di Gaza, satu usaha vaksinasi telah dijalankan pada Ahad dengan persetujuan antara Hamas dan Israel melaksanakan jeda selama tiga hari di wilayah bergolak itu.
Kementerian Kesihatan berkata, kira-kira 160,000 kanak-kanak menerima dos vaksin polio pertama pada Ahad dan Isnin di tengah Gaza.
Kempen ketenteraan Israel terhadap Hamas setakat ini telah membunuh sekurang-kurangnya 40,786 orang di Gaza. Pejabat hak asasi manusia PBB mengatakan kebanyakan yang mati adalah wanita dan kanak-kanak. - AFP